PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan.
Menurut Istana Negara, Sultan Ibrahim sedang gering susulan kesakitan muskuloskeletal melibatkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul.
“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda tidak dapat berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Perwakilan Asing serta Pegawai Kanan Kerajaan di Istana Negara, semalam.
“Selain itu, majlis perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) oleh Sultan Ibrahim yang dijadualkan berlangsung semalam turut ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan sama, Sultan Ibrahim dijangka kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi selepas keadaan kesihatan Seri Paduka Baginda beransur pulih. – UTUSAN










