KUALA LUMPUR: Malaysia akan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan syarikat tempatan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan negara turut membangunkan teknologi berkenaan, bukan sekadar menggunakannya.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, usaha itu penting untuk memastikan Malaysia mempunyai keupayaan menghasilkan teknologi AI baharu yang mampu bersaing di peringkat global.
“Kita mesti menjadi negara yang membangunkan AI. Bergerak ke depan, kita sekarang memberikan fokus kepada bagaimana kita boleh membangunkan bakat. Bakat-bakat yang diperlukan buat tujuan tersebut.
“Juga untuk membina syarikat-syarikat Malaysia yang boleh membina ataupun mewujudkan apa yang kita lihat teknologi baru AI baru dan sebagainya di peringkat pentas dunia. Itu dalam rancangan kita, di dalam plan yang saya sebut tadi,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, perkembangan AI yang begitu pantas menyebabkan teknologi baharu serta risiko berkaitan muncul dalam tempoh yang singkat, sekali gus memerlukan Malaysia meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi perubahan tersebut.
Dalam pada itu, Gobind turut memaklumkan, kerajaan kini memberi perhatian kepada perkembangan teknologi AI baharu menerusi penubuhan AI Malaysia yang berperanan menghimpunkan kepakaran bagi membantu kerajaan memahami perkembangan teknologi serta mengenal pasti risiko yang mungkin timbul.
Katanya, pakar-pakar berkenaan akan membantu kerajaan melihat teknologi baharu yang bakal wujud selain menilai bagaimana teknologi sedia ada boleh membawa risiko baharu dari aspek keselamatan dan perundangan.
“AI Malaysia menjadi tempat di mana kita kumpul semua pakar untuk memberitahu kita sebenarnya apakah teknologi baharu yang bakal wujud. Dan bagaimana teknologi-teknologi yang sedia ada itu membawa undang-undang, membawa risiko-risiko yang baharu. Supaya kita dapat menyediakan negara untuk risiko-risiko itu bergerak ke depan.
“Kita tidak mahu satu keadaan di mana risiko-risiko itu kita lihat sudah sampai negara kita, tapi kita tidak bersedia. Dan ini sebab kita adakan AI Malaysia tersebut,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai AI berpotensi menjejaskan 40 peratus pekerjaan di seluruh dunia, jelas Gobind, kerajaan sedang memantau pekerjaan yang berpotensi terjejas akibat perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selain menyediakan langkah awal bagi membantu golongan terbabit menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran pekerjaan.
“Kita sedar bahawa teknologi baharu ini memang akan mempunyai kesan terhadap pekerjaan-pekerjaan sedia ada, dan mekanisme itu telah pun kita wujudkan supaya kita dapat pantau dan juga belajar sekarang berkenaan apakah pekerjaan yang akan terkesan.
“Kita buat persiapan-persiapan supaya kita dapat pastikan bahawa impak terhadap golongan tersebut dikurangkan apabila sampai ke masa itu,” katanya. – UTUSAN











