PARLIMEN: FINAS teliti mekanisme bayaran royalti tayangan semula kepada pelakon

PARLIMEN: FINAS teliti mekanisme bayaran royalti tayangan semula kepada pelakon

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan meneliti kesesuaian mekanisme bayaran residual atau royalti tayangan semula kepada pelakon menerusi perkongsian hasil bagi karya audiovisual.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penelitian itu akan mengambil kira tiga aspek utama iaitu perundangan, industri dan pasaran bagi memastikan mekanisme yang bakal dirangka bersesuaian dengan ekosistem industri kreatif negara.

Katanya, dari aspek perundangan, penelitian akan menentukan sama ada mekanisme berkenaan wajar dilaksanakan melalui pindaan undang-undang, garis panduan industri atau kontrak standard.

“Dari aspek industri pula, penelitian akan melihat struktur ekosistem industri kreatif serta model perniagaan semasa, manakala aspek pasaran akan mengambil kira amalan platform penstriman dan pengedar antarabangsa,” katanya dalam bertulis disiarkan dalam laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai cadangan mekanisme residual payment atau royalti tayangan semula bagi pelakon Malaysia.

Cadangan itu bertujuan memastikan pelakon menerima bahagian yang munasabah daripada nilai ekonomi karya mereka setiap kali karya berkenaan dieksploitasi secara komersial, termasuk menerusi televisyen, pawagam, platform penstriman atau pasaran luar negara.

Fahmi berkata, FINAS akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam penelitian berkenaan.
Katanya, pandangan pihak berkepentingan turut akan diambil kira, termasuk Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafema), persatuan pelakon dan persatuan penerbit.

“Pendekatan ini penting supaya sebarang mekanisme yang diperkenalkan bukan sahaja memberikan agihan manfaat ekonomi yang lebih adil kepada pelakon, tetapi pada masa sama tidak menjejaskan daya saing, kebolehlaksanaan komersial dan kemampanan industri kreatif negara,” katanya.

Beliau berkata, mekanisme berkenaan berpotensi memastikan pelakon terus menerima manfaat ekonomi yang munasabah apabila karya yang membabitkan persembahan mereka terus dieksploitasi secara komersial selepas tayangan pertama.

Ini katanya, termasuk siaran ulangan televisyen, platform penstriman dan pasaran antarabangsa.

Katanya, di Malaysia, Akta Hak Cipta 1987 telah memberikan hak tertentu kepada pelaku, namun ketika ini belum terdapat mekanisme khusus bagi bayaran residual untuk karya audiovisual.

“Imbuhan kepada pelakon lazimnya ditentukan berdasarkan terma dan syarat kontrak yang dipersetujui antara pelakon dengan penerbit atau pemegang hak karya,” katanya.

Sebagai perbandingan, beliau berkata, di Amerika Syarikat, bayaran residual tidak diwujudkan secara khusus melalui undang-undang, sebaliknya dirundingkan secara kolektif antara kesatuan pelakon seperti SAG-AFTRA dengan persatuan penerbit.

Jelasnya, bayaran itu diberikan kepada pelakon yang dilindungi di bawah perjanjian berkenaan apabila sesebuah filem atau drama dieksploitasi di pasaran selepas tayangan pertama, termasuk menerusi televisyen, video dan penstriman.

“Bagi filem, bayaran berkenaan lazimnya dikira sebagai peratusan daripada Distributor’s Gross Receipts (DGR) sebelum jumlah tersebut diagihkan kepada pelakon berdasarkan tempoh penggambaran dan bayaran asal yang diterima setiap pelakon,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN