KUALA LUMPUR: Sebanyak 713 kandungan pemalsuan imej atau ‘deepfake’ membabitkan pemimpin parti politik telah diturunkan oleh pemberi perkhidmatan hasil permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jumlah tersebut adalah sepanjang tempoh 1 Januari 2025 hingga 15 September 2026.
Katanya lagi, tindakan itu diambil berdasarkan aduan, pelanggaran garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan serta undang-undang tempatan.
“Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk ‘deepfake’, penipuan dan pemalsuan identiti, ditangani berdasarkan sifat serta elemen kesalahan dan bidang kuasa kementerian atau agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Bagi kandungan yang mempunyai unsur lucah, sumbang, palsu, mengancam, jelik melampau atau memudaratkan, MCMC boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866),” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai jumlah aduan dan tindakan terhadap kandungan ‘deepfake’ membabitkan pemimpin parti politik sepanjang 2025 hingga 2026.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, tindakan MCMC adalah berasaskan peruntukan undang-undang, elemen kesalahan, fakta dan bukti, tanpa mengambil kira fahaman politik, kedudukan atau latar belakang individu terbabit.
“Sebagai contoh, Seksyen 233 Akta 588 menetapkan elemen perlakuan dan niat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu perbuatan boleh dianggap sebagai kesalahan.
“Pindaan kepada seksyen itu turut disertakan dengan huraian setiap elemen kandungan, termasuk apa yang dimaksudkan sebagai kandungan palsu, lucah, sumbang, mengancam dan jelik melampau,” katanya.
Dalam kes membabitkan tindakan pendakwaan pula, Fahmi berkata, rujukan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara untuk penilaian, manakala pendakwaan hanya dilaksanakan selepas mendapat izin bertulis daripada Pendakwa Raya.
Kataya, kes yang didakwa pula tertakluk kepada proses perbicaraan mahkamah, dengan tertuduh diberi hak mengemukakan pembelaan sebelum keputusan dibuat.
“Kementerian juga mempunyai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan MCMC bertindak secara adil dan bebas tanpa tekanan luaran.
“Pihak yang terkilan boleh membuat rayuan terhadap tindakan dan keputusan MCMC di Tribunal Rayuan yang diwujudkan bawah Akta 588 dan Akta 866, sebelum memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, jika tidak berpuas hati dengan keputusan Tribunal Rayuan.
“Mekanisme itu membantu memastikan tindakan pengawalseliaan dan penguatkuasaan MCMC dilaksana berdasarkan undang-undang, fakta dan bukti serta tertakluk kepada proses semakan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN











