KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melukakan perasaan penganut agama Kristian semasa berucap di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, September lalu.
Bagaimanapun, Noorazli, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja berniat untuk melukakan perasaan agama pengadu, Xenia Lok Zou Chieh, 49, iaitu Kristian apabila mengeluarkan kenyataan menyentuh mengenai paderi dan biarawati Katolik.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC), Jalan Tun Ismail, di sini, pada pukul 11.20 pagi, 12 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara.
Peguam bela, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican yang mewakili Noorazli memohon jaminan rendah sekitar RM4,000 ke RM5,000.
“Jadi secara keseluruhannya, kita kena tengok kepada niat, sama ada benar niatnya atau tidak. Kedua, tindakan dia yang bersifat mahu berdamai, bersedia untuk memohon maaf dan sebagainya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tert diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 18 November ini.
Pada 17 September lalu, polis menerima sebanyak 86 laporan polis dan 93 orang saksi telah dirakam percakapan melibatkan orang awam, pihak penganjur, perwakilan UMNO serta Noorazli.
Pada 14 September lalu, Noorazli bersedia memohon maaf sekiranya ucapan berkaitan paderi dan biarawati ketika PAU 2026 menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian.
Beliau turut menegaskan kisah yang dikongsi ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO itu sama sekali tidak bertujuan menghina, memperlekeh atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama. – UTUSAN











