PETALING JAYA: Minuman STING Energy Boost daripada PepsiCo kini membawa kerjasama sukan permotoran globalnya ke Malaysia menerusi pelancaran kempen F1 Sounds Like STING.
Kempen musim perlumbaan berkenaan menandakan kali pertama STING hadir dengan aktivasi Formula 1 (F1) berskala besar di negara ini bagi merapatkan pengalaman perlumbaan dalam kalangan peminat tempatan.
Selain aktivasi pengguna di Malaysia, jenama berkenaan turut mendapat hak penyajian minuman sebagai rakan rasmi F1 di Singapura, sekali gus mengukuhkan kehadiran jenama itu di kedua-dua pasaran serantau.
Pengurus Besar Malaysia, Filipina dan Singapura PepsiCo, Aditya Sheoran berkata, kerjasama berbilang tahun antara PepsiCo dan F1 itu menjadi platform strategik untuk mendekati pengguna menerusi minat utama mereka.
“Bagi Malaysia, kerjasama ini amat bermakna kerana ia menandakan kali pertama STING hadir dengan aktivasi berskala besar di negara ini. Kami ingin membawa skala kerjasama global ini ke peringkat tempatan menerusi pengalaman yang boleh dinikmati peminat,” katanya dalam kenyataan.
Bersempena penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), STING akan berada di sepanjang hujung minggu perlumbaan dengan sokongan rakan perniagaan makanan dan minuman (F&B) yang menawarkan barangan PepsiCo.
Syarikat turut memperkenalkan pek F1 edisi terhad serta lagu tema berinspirasikan perlumbaan bertajuk The Sting Within Me yang dihasilkan bersama DJ antarabangsa, Alan Walker.
Sementara itu, Ketua Francais Malaysia dan Singapura PepsiCo, Joy Goh berkata, penyediaan produk di litar bertujuan memastikan pengalaman pengguna dipertingkat sepanjang acara berlangsung.
“Menerusi sokongan rakan F&B dan vendor di Litar Antarabangsa Sepang, para peminat boleh menikmati STING serta jenama PepsiCo lain sepanjang hujung minggu perlumbaan,” katanya.
Pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan buat peminat tempatan termasuk permainan Sting Speed Rush, cabaran tarian, serta peraduan Longest STINGGGGGG menerusi stesen radio ERA FM bermula 30 September bagi memenangi tiket ke acara perlumbaan berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Pemasaran Malaysia dan Singapura PepsiCo, Jennifer Lee berkata, kempen berkenaan direka untuk meraikan elemen bunyi, kelajuan dan kemeriahan F1 sepanjang musim perlumbaan. –UTUSAN











