KUALA LUMPUR: Aspek keselamatan masjid di Wilayah Persekutuan akan terus diberi perhatian termasuk menerusi semakan dari semasa ke semasa terhadap standard dan mekanisme pengurusan sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perhatian khusus akan diberikan kepada masjid yang menjadi tumpuan ramai bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa berada pada tahap yang sewajarnya.
“Di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita akan memberikan perhatian dari aspek keselamatan di masjid-masjid, khususnya di Wilayah Persekutuan.
“Alhamdulillah, setakat ini JAWI dan MAIWP mempunyai standard dan juga mekanisme mereka.
“Namun kita akan semak dari masa ke semasa supaya keselamatan akan diberikan lebih keutamaan khususnya di tempat-tempat yang melibatkan ramai masyarakat, ramai penduduk dan sebagainya,” katanya ditemui selepas Majlis Amanat dan Penyerahan Sijil Pengiktirafan Standard Penarafan Masjid di Wilayah Persekutuan di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Kepong, di sini hari ini.
Mengulas kejadian di Masjid Al Aziz Al Hadi, Kampung Berangan, Tumpat, Kelantan yang disimbah cecair busuk baru-baru ini, Zulkifli berkata, pihaknya menghormati siasatan yang dijalankan pihak berkuasa berikutan kejadian berkenaan berlaku di luar Wilayah Persekutuan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang awam supaya bersama-sama menjaga dan memelihara masjid serta tidak melakukan perbuatan yang boleh mencemarkan kesucian rumah Allah.
Menurutnya, aspek keselamatan turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian menerusi Standard Penarafan Masjid, selain pengurusan, pengimarahan dan persekitaran.
“Standard penarafan ini adalah salah satu instrumen untuk melihat keseluruhan ekosistem masjid yang perlu ada, bukan hanya daripada segi keselamatan tetapi dari segi pengimarahan, aktivitinya, pengurusan yang telus, kewangan yang baik, termasuk juga persekitaran masyarakat dan kemudahan-kemudahan,” katanya.
Zulkifli berkata, sebarang usaha berkaitan keselamatan masjid perlu ditangani secara berhikmah supaya langkah yang diambil tidak memberikan perspektif yang kurang baik terhadap masjid itu sendiri.
“Insya-Allah kita akan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa, penduduk setempat, pengurusan dan juga pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya.
Zulkifli berkata, Standard Penarafan Masjid diperkenalkan sebagai rujukan kepada masjid di Wilayah Persekutuan dalam membentuk model pengurusan dan aktiviti yang selari dengan aspirasi untuk menjadikan masjid sebagai institusi yang lebih terkehadapan.
Katanya, penarafan itu mengambil kira keseluruhan ciri sebuah masjid ideal, termasuk aspek pengurusan, pengimarahan, kemudahan, fasiliti dan persekitaran.
“Masjid bukan sahaja menawarkan satu tempat untuk orang Islam beribadah tetapi juga menjadi pusat komuniti dan dapat memberikan manfaat kepada penduduk di sekitar,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 41 masjid setakat ini sudah menerima penarafan berkenaan.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata usaha mengimarahkan masjid akan turut diperluaskan menerusi pengisian ilmu yang lebih dekat dengan kehidupan dan keperluan masyarakat.
Katanya, antara dirancang ialah memperkenalkan program kelas tuisyen Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di masjid-masjid Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
“Kita sudah ada agensi kita, YADIM, yang mempunyai modul SPM dan menawarkan kepada 400,000 pelajar SPM di seluruh negara. Kita mahu bawa program itu ke masjid.
“Kita akan panggil guru-guru terbaik dan guru-guru pakar supaya anak-anak kita dapat belajar dan pada masa yang sama mereka dapat berada di masjid,” katanya. – UTUSAN











