PETALING JAYA: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan kempen Tahun Melawat Malaysia sehingga tahun hadapan dengan peruntukan RM935 juta untuk sektor pelancongan dan budaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu termasuk menyediakan geran galakan kepada penggiat industri untuk mempromosi dan menganjurkan acara pelancongan.
Katanya, mutu kemudahan pelancongan akan ditingkatkan termasuk prasarana jeti dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf UNESCO seperti Danum Valley, Sabah; Lembah Bujang, Kedah dan Taman Negara Pahang.
“Seni, budaya dan warisan terus disemarakkan melalui penganjuran Festival Budaya sempena Sukan SEA dan menyokong penggiat budaya dan warisan seperti kraf tangan, tenun dan batik.
“Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa dan Carter disediakan bagi merintis laluan penerbangan terus baharu dari China, India, Asia Tengah dan Eropah.
“Skop geran diperluas meliputi kapal persiaran, feri dan bas persiaran yang bawa pelancong antarabangsa ke Malaysia,” katanya dalam membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini. –UTUSAN











