PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengungkap rangkap ke-731 dalam karya terkenal Thiruvalluvar, Tirukkural iaitu Thallaa Vilaiyulum Thakkaarum Thaazhvilaach Chelvarum Servadhu Naadu dalam pembentangan Belanjawan 2027 hari ini.
Rangkap berbahasa Tamil itu membawa maksud ‘negara yang unggul ialah negara yang subur hasil buminya, tinggi keilmuan dan budi rakyatnya serta makmur kekayaannya tanpa mengetepikan akhlak’.
“Ternyata, sejak zaman silam, Thiruvalluvar mengingatkan hebatnya sesebuah negara itu tidak sekadar bersandar pada limpahan khazanah dan mercu tanda tetapi turut ditunjangi kebijaksanaan, keadilan dan kemuliaan insan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini
Anwar turut mengungkap satu kiasan yang disifatkan sarat hikmah dalam syair Shangtang Kaishi Song karya seorang pendeta agung pada era Dinasti Tang (618-907 Masihi) bagi menunjukkan usaha reformasi tanpa gentar.
Beliau mengungkap Bù jīng yī fān hán chè gǔ, zěn dé méi huā pū bí xiāng yang bermaksud tidak akan terbit keharuman bunga plum tanpa terlebih dahulu mengharungi dingin yang menggigit hingga ke tulang.
“Kiasan ini mengungkap suatu hakikat mengenai kehidupan dan perjuangan manusia, bahawa sesuatu pencapaian yang besar tidak lahir dari kesenangan yang berpanjangan, malah ia menuntut ketekunan, kesabaran dan kesanggupan menempuh getir.
“Justeru, belanjawan tidak hanya menghitung lembaran hasil dan membahagi peruntukan. Ia menguji amanah kita, apakah kuasa dibatasi, undang-undang ditegakkan dan wang rakyat diurus dengan jujur?
“Ekonomi tidak mungkin teguh di atas institusi yang rapuh,” katanya. –UTUSAN










