Jerebu: 238 titik panas dikesan di Indonesia

Jerebu: 238 titik panas dikesan di Indonesia

TIGA lelaki bermain golf di Ponderosa Golf & Country Club ketika ruang udara di Johor Bahru diselubungi jerebu dengan bacaan IPU 167 setakat pukul 3 petang semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemunculan semula jerebu rentas sempadan ketika ini berpunca daripada 238 titik panas yang dikesan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, berdasarkan imej satelit NOAA-20 semalam, sebanyak 178 titik panas dikesan di Kalimantan manakala 60 lagi di Sumatera.

Menurutnya, empat titik panas turut dikesan di Sabah dan Sarawak.

“Analisis ramalan Model Kualiti Udara Pelbagai Skala Komuniti Malaysia (MyCMAQ) menunjukkan kehadiran jerebu rentas sempadan dijangka memberi kesan signifikan kepada kawasan yang berada dalam trajektori pergerakannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Keadaan itu turut menyebabkan kualiti udara di beberapa kawasan negara berada pada tahap tidak sihat.

Setakat pagi semalam, sebanyak 33 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan Batu Pahat, Johor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 195.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Nilai, Negeri Sembilan dan Johan Setia, Selangor masing-masing mencatatkan bacaan 188.

Cheras, Kuala Lumpur pula merekodkan bacaan 186, diikuti Putrajaya (183) dan Seremban, Negeri Sembilan (181).

Bagaimanapun, MetMalaysia menjangkakan keadaan jerebu rentas sempadan itu beransur-ansur berkurangan apabila negara memasuki fasa peralihan monsun bermula Jumaat ini hingga penghujung bulan.

Katanya, permulaan fasa berkenaan menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 14 Mei lalu.

“Dengan berakhirnya musim itu, kesan jerebu rentas sempadan daripada negara jiran dijangka beransur-ansur berkurangan berikutan perubahan arah pergerakan angin,” katanya.

Ketika fasa peralihan monsun, negara dijangka menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir.

Keadaan itu lazimnya membawa hujan lebat, kilat dan angin kencang dalam tempoh singkat, terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, selain barat Sabah dan Sarawak.

Fenomena itu berpotensi menyebabkan banjir kilat, kepala air, pokok tumbang dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN