Beri keutamaan kepada negeri dalam Belanjawan 2027

Beri keutamaan kepada negeri dalam Belanjawan 2027 – Ahmad Samsuri

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) bergambar bersama kakitangan kerajaan yang menerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Jumaat ini perlu memberi ruang lebih besar kepada negeri untuk menentukan projek pembangunan berdasarkan keperluan dan keutamaan rakyat setempat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengagihan peruntukan kepada negeri juga diharap dapat dipertingkat supaya lebih banyak projek yang benar-benar menjadi keutamaan negeri dapat dilaksanakan.

Katanya, walaupun sesi libat urus antara kerajaan negeri dan Persekutuan telah diadakan, terdapat keadaan apabila senarai projek yang dicadangkan negeri tidak diambil kira sepenuhnya dalam penentuan projek berskala besar.

“Kita harap ruang kepada negeri-negeri untuk mendapat pengagihan yang lebih baik yang boleh diuruskan oleh pihak negeri. Projek yang akan diumumkan nanti juga perlu menjadi projek yang menjadi keutamaan negeri. 

“Tidak ada banyak ertinya sekiranya projek yang tidak menjadi keutamaan negeri tetapi dibuat oleh Kerajaan Pusat di negeri-negeri,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, perkara itu memerlukan perbincangan dan libat urus berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan supaya pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya rasa libat urus sudah ada dibuat tetapi kadangkala wish list daripada negeri tidak diambil kira dalam penentuan projek-projek berskala besar ataupun yang memberi kepentingan kepada rakyat. Jadi, kita harap perkara itu diambil kira dalam pembentangan pada Jumaat ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas Laporan Ketua Audit Negara berhubung kelewatan 114 hari bagi  Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus, beliau berharap projek pengawalan hakisan pantai di Terengganu dapat dilaksanakan dengan lebih segera berikutan faktor Monsun Timur Laut (MTL) yang boleh menjejaskan tempoh pelaksanaan projek.

Katanya, kelewatan projek berkenaan perlu dilihat daripada pelbagai aspek termasuk kemampuan agensi pelaksana serta keadaan cuaca yang dihadapi di Pantai Timur.

“Pertama, agensi pelaksana. Soalan ini lebih baik diajukan kepada agensi pelaksana. Saya tidak ingin menyalahkan sesiapa kerana ada pelbagai sebab. Dengan kehadiran musim monsun yang bermula bulan ini atau bulan depan, projek-projek kawalan hakisan akan terganggu dengan teruk dan hanya boleh disambung semula seawal Mac atau April,” katanya.

Menurutnya, keadaan berkenaan menyebabkan tempoh pelaksanaan projek di Pantai Timur menjadi lebih singkat berbanding kawasan Pantai Barat yang tidak berdepan gangguan musim monsun pada tempoh sama.

“Bayangkan dalam setahun, tempoh yang boleh digunakan sepenuhnya untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan menjadi terhad. Atas sebab itu, saya berpandangan projek-projek sedemikian di Pantai Timur, khususnya negeri yang berdepan isu hakisan pantai perlu diberi pertimbangan supaya boleh dilaksanakan dengan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN