PETALING JAYA: Golongan M40 dijangka menikmati lebih banyak pelepasan cukai dalam Belanjawan 2027 bagi meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Mustazar Mansur berkata, pelepasan itu dijangka meliputi aspek kesihatan, pendidikan, penjagaan anak dan tanggungan, pemilikan rumah, pengangkutan serta insurans.
Katanya, langkah tersebut dapat membantu golongan M40 yang tidak menerima bantuan tunai menikmati manfaat dalam bentuk pelepasan cukai.
“Sekurang-kurangnya M40 yang tidak mendapat subsidi tunai akan menikmati pelepasan cukai untuk menambah pendapatan boleh guna mereka atau meningkatkan pendapatan benar mereka.
“Terdapat kemungkinan pelepasan cukai bagi pemilikan kenderaan elektrik dan penggunaan tenaga solar di rumah untuk golongan M40 susulan tekanan kenaikan harga bahan api,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai bantuan kepada rakyat, Mustazar menjangkakan nilai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) ditingkatkan berbanding tahun lalu, selain peluasan Jualan Rahmah dan pakej bantuan bersasar kepada B40 serta M40.
Katanya, kerajaan juga mungkin mempertimbangkan peningkatan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM100 kepada RM150 atau RM200 bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
“Dalam aspek pendapatan pekerja, kenaikan gaji minimum dilihat akan diberikan keutamaan, selain perhatian turut diberikan terhadap gaji progresif.
“Gaji progresif penting supaya pekerja berkelayakan diploma dan ijazah menerima pendapatan setimpal dengan kelayakan mereka serta tidak hanya bergantung pada gaji minimum,” katanya.
Mengenai percukaian, Mustazar berharap pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lebih bersasar supaya penjanaan hasil negara dapat diperluas tanpa menekan peniaga kecil serta rakyat.
Beliau turut membangkitkan kemungkinan pendekatan hibrid antara SST dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dengan mengambil kira pelaksanaan e-Invois serta kategori cukai baharu.
“Dalam sektor pendidikan, peruntukan perlu memberikan perhatian kepada penyediaan infrastruktur mencukupi dan kemudahan pembelajaran yang selesa susulan isu penderaan serta kematian yang dibangkitkan ketika ini.
“Bantuan makanan dan pengangkutan ke sekolah juga perlu diberikan perhatian supaya pendidikan anak-anak khususnya daripada keluarga B40 serta M40 tidak terjejas,” katanya.
Tambah beliau, Belanjawan 2027 seharusnya menyediakan langkah membantu peniaga kecil mengurangkan kos bahan mentah, sewaan premis dan operasi.
“Diharapkan ada beberapa pengumuman yang boleh membantu peniaga kecil supaya dapat menyerap kenaikan kos di pasaran dan diterjemahkan kepada harga barang yang lebih terkawal.
“Ini kerana pemantauan dan kawalan harga perlu disertai sistem yang memastikan maklumat pasaran dikongsi secara seimbang bagi mengelakkan harga bahan mentah melonjak ketika berlaku bencana alam, krisis atau kenaikan harga bahan api.
“Langkah ini penting untuk mengelakkan peningkatan kos secara drastik dan memberikan ruang margin keuntungan yang lebih melegakan kepada peniaga kecil,” katanya. – UTUSAN











