Bakat dan keupayaan AI tempatan berdaya saing - Utusan Malaysia

Bakat dan keupayaan AI tempatan berdaya saing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah Amalan Keselamatan Siber Aras Integrasi Sdn Bhd, Faurani Jaafar memaklumkan agensi kerajaan menyimpan dua kategori maklumat iaitu data peribadi rakyat serta maklumat berkaitan kerajaan termasuk perolehan aset.

Faurani berkata, sebarang kebocoran berkenaan maklumat strategik seperti perolehan aset ketenteraan berpotensi membuka ruang kepada pihak luar mengetahui perancangan negara.

“Kita menganggap isu ini daripada sudut keselamatan siber, namun ianya penting kerana berhubung kait dengan isu keselamatan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Contohnya, sekiranya maklumat berkaitan perolehan aset ketenteraan terjejas, negara lain berpotensi mengetahui aset yang akan kita peroleh dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Justeru, keupayaan melindungi aset negara menerusi inisiatif keselamatan siber seperti ini dapat membantu meningkatkan keselamatan negara,” katanya dalam sidang media pada Cyber Digital Services, Defence & Security Asia (CyberDSA) 2026, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Teknologi Aras Integrasi, Farul Mohd. Ghazali berkata berkata Malaysia harus membangunkan keupayaan dalaman untuk menyiasat insiden siber tanpa bergantung sepenuhnya kepada penyedia teknologi luar.

Katanya, pembangunan teknologi tempatan bukan sekadar soal pemilikan, sebaliknya perlu merangkumi keupayaan mengendalikan, menyelenggara serta menambah baik teknologi kritikal secara berterusan menggunakan bakat tempatan.

“Matlamat kita adalah untuk mencungkil bakat tempatan terbaik dan memastikan mereka dapat membantu menghasilkan produk berdaya saing dengan keupayaan luar.

“Isunya adalah persepsi terhadap kemampuan negara kita mengetengahkan bakat-bakat ini, sangat rendah. Bakat tempatan, ditambah keupayaan dalam kecerdasan buatan (AI) setanding dengan teknologi luar negara,” katanya.

Aras Integrasi membangunkan tiga platform keselamatan siber tempatan bagi menangani pelbagai aspek risiko siber dan penyiasatan digital.

Ianya termasuk VoronCitadel yang memberi tumpuan kepada tadbir urus, risiko dan pematuhan bagi membantu organisasi mengurus tadbir urus siber, risiko digital, keterlihatan permukaan serangan serta risiko pihak ketiga.

Selain itu, GovSec pula merupakan platform risikan ancaman dibantu AI yang membantu pasukan keselamatan mengenal pasti dan menilai potensi ancaman, manakala chainSENTRY pula platform risikan serta penyiasatan blockchain bagi tujuan pengesanan transaksi, analisis dompet digital dan penilaian risiko.

Kesemua platform itu dibangunkan menggunakan bakat dan teknologi tempatan dengan GovSec dibangunkan menerusi kerjasama bersama CyberSecurity Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini