Badan Peguam gagal cabar pelantikan Ahmad Terrirudin dalam JAC

Badan Peguam gagal cabar pelantikan Ahmad Terrirudin dalam JAC

AHMAD TERRIRUDIN MOHD. SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh yang juga bekas Peguam Negara sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Hakim Norliza Othman memutuskan demikian atas alasan segala kriteria pelantikan Ahmad Terrirudin adalah mengikut undang-undang.

Permohonan itu ditolak dengan kos RM3,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada 12 Februari lalu, Badan Peguam memfailkan permohonan tersebut dan memohon relif antaranya satu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Perdana Menteri melantik Ahmad Terrirudin sebagai anggota JAC dan perisytiharan bahawa keputusan pelantikan itu adalah menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah.

JAC dianggotai oleh sembilan anggota yang mana empat daripadanya adalah anggota tetap terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah Sarawak.

Baki lima anggota suruhanjaya itu terdiri seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang tidak menganggotai jawatan ex-officio dan empat orang tokoh terkemuka yang bukan anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan.

“Pemohon (Badan Peguam) bersetuju kriteria pelantikan dipenuhi (pelantikan melibatkan Hakim Mahkamah Persekutuan dan dilantik oleh Perdana Menteri) namun meminta mahkamah membaca keperluan tersirat seperti kekananan (senority), tempoh perkhidmatan, pengalaman dan bebas daripada dakwaan yang belum selesai yang kesemuanya tidak wujud dalam peruntukan.

“Mahkamah mentafsirkan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, bukan niat subjektifnya. Adalah satu kesilapan untuk memasukkan ke dalam peruntukan pelantikan berkanun, suatu keperluan yang tiada dalam peruntukan,”kata Hakim Norliza.

Selain itu, hakim itu menyatakan, Badan Peguam tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan tersebut kerana kepentingan mereka tidak terjejas dengan pelantikan tersebut.

“JAC sekadar mengesyorkan. Kuasa pelantikan terletak pada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Kerisauan bahawa akan berlaku berat sebelah adalah bersifat spekulatif,” kata hakim itu.

Selain Ahmad Terrirudin, Badan Peguam selaku pemohon menamakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, JAC dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Pada prosiding hari ini, Badan Peguam diwakili ialah bekas presiden Badan Peguam, Zainur Zakaria, Steven Thiru dan Datuk Ambiga Sreevenasan manakala Peguam Persekutuan Kanan (SFC) Datuk Shamsul Bolhassan mewakili Peguam Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN