Keputusan kebenaran cabar pelantikan JAC Ahmad Terrirudin 5 Okt.

Keputusan kebenaran cabar pelantikan JAC Ahmad Terrirudin 5 Okt.

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Badan Peguam gagal menunjukkan sebarang pelanggaran dalam pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Peguam Negara menghujahkan bahawa Seksyen 5(1)(e) Akta JAC menetapkan hanya dua syarat bagi seseorang ahli JAC, iaitu individu itu mesti seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan pelantikan hendaklah dibuat oleh Perdana Menteri.

Katanya, responden pertama hanyalah seorang ahli dalam sebuah suruhanjaya yang dianggotai oleh beberapa ahli dan tidak boleh secara bersendirian mempengaruhi pelantikan kehakiman.

“JAC hanya menjalankan peranan memberikan syor dan tidak melantik hakim. Pelantikan hakim kekal terletak di bawah kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Shamsul menghujahkan demikian dalam permohonan untuk mendapatkan kebenaran oleh Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai anggota JAC.

JAC dianggotai oleh sembilan anggota yang mana empat daripadanya adalah anggota tetap terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah Sarawak.

Baki lima anggota suruhanjaya itu terdiri seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang tidak menganggotai jawatan ex-officio dan empat orang tokoh terkemuka yang bukan anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan.

Permohonan tersebut difailkan pada 12 Februari lalu dengan Badan Peguam selaku pemohon menamakan Ahmad Terrirudin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, JAC dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Sementara itu, peguam Steven Thiru, yang mewakili Badan Peguam, berhujah bahawa cabaran badan itu membabitkan komposisi JAC, yang berkaitan dengan pelaksanaan kuasa-kuasa statutori.

“Terdapat kes prima facie yang wajar dipertimbangkan oleh mahkamah ini. Sehubungan itu, kami memohon mahkamah memberikan kebenaran untuk permohonan semakan kehakiman ini didengar,” katanya.

Menurut permohonan yang difailkan, Badan Peguam memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Perdana Menteri melantik Ahmad Terrirudin sebagai anggota JAC dan perisytiharan bahawa keputusan pelantikan itu adalah menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah.

Pemohon juga memohon perintah mandamus bagi mengarahkan Perdana Menteri melaksanakan prerogatif melantik seorang anggota JAC kelima selaras dengan peruntukan undang-undang Malaysia dan Akta JAC.

Badan Peguam turut memohon perintah mandamus yang memerintahkan responden ketiga iaitu JAC untuk menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terhadap Ahmad Terrirudin dan keputusan RCI itu didedahkan kepada umum.

Turut dimohon adalah perintah mandamus memerintahkan JAC mengeluarkan, memberikan atau mendedahkan sesalinan minit mesyuaratnya yang telah diadakan pada 16 Mei lalu kepada Badan Peguam dalam tempoh tujuh hari dari tarikh permohonan kebenaran dibenarkan oleh mahkamah.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak, Hakim Norliza Othman menetapkan 5 Oktober ini bagi keputusan permohonan kebenaran itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN