Rayuan akhir Rela bunuh bekas Ketua Bahagian MCA ditolak

Rayuan akhir Rela bunuh bekas Ketua Bahagian MCA ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak rayuan akhir seorang lelaki warga emas yang sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan menembak mati bekas Ketua Bahagian MCA Marang dalam insiden di sebuah tokong di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu lima tahun lalu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Rhodzariah Bujang yang turut bersidang bersama-sama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk P. Ravinthran sebulat suara menolak rayuan Ong Chow Lee, 62, selepas mendapati rayuan tersebut tidak bermerit.

Pada 9 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun selepas Chow Lee mengaku bersalah atas tuduhan membunuh Fong Swee Fuan (ketika kejadian 65 tahun) yang juga kawan baiknya di belakang tokong Cina di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang pada pukul 1.55 tengah hari, 23 Julai 2021.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani turut menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu selepas Chow Lee mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh anak saudara Swee Fuan, Teo Hock Beng yang cedera ditembak di bahagian tangan kiri.

Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 23 Julai 2021.

Sewaktu rayuan di Mahkamah Rayuan, Chow Lee memohon agar kes itu dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula atas alasan dia membuat pengakuan bersalah selepas dipengaruhi bekas peguamnya dengan mempercayai hanya akan menerima hukuman penjara 15 tahun sedangkan hukuman minimum kesalahan membunuh ialah 30 tahun.

Bagaimanapun, pada 12 September 2024, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya itu.

Pada prosiding hari ini, sebelum Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, peguam bela, Ahmad Ridzuan Awang yang mewakili Chow menghujahkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu telah terkhilaf apabila gagal menjelaskan sifat dan akibat pengakuan bersalah tertuduh.

Ahmad Ridzuan berkata, mahkamah itu tersalah arah apabila gagal memberi penjelasan mengikut Seksyen 178(1) dan (2) Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan pertuduhan mesti dijelaskan sepenuhnya kepada tertuduh dan pengakuan bersalah hanya boleh direkodkan sekiranya tertuduh memahami sifat serta akibat pengakuan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang dalam hujah balasnya menyatakan bahawa pengakuan bersalah oleh Ong jelas mematuhi prosedur.

“Responden dengan rendah diri menghujahkan bahawa berdasarkan nota prosiding, tiada paksaan atau salah arah yang boleh mewajarkan campur tangan mahkamah ini.

“Tertuduh diwakili peguam pada masa material dan beliau memilih untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu serta pengakuan bersalah tersebut diterima mengikut undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN