ADUN Seri Kembangan junjung titah Sultan Selangor

ADUN Seri Kembangan junjung titah Sultan Selangor

Ternakan babi
WONG SIEW KI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan menegaskan beliau memegang teguh pada prinsip Rukun Negara.

Siew Ki berkata, beliau amat menghormati dan mematuhi lima prinsip yang tertera di dalam Rukun Negara.

“Patik menjunjung tinggi titah Sultan Sharafuddin Idris Shah. Sebagai wakil rakyat, prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi, dan asas utama patik dalam memikul amanah serta berkhidmat untuk seluruh rakyat.

“Patik amat menghormati dan sentiasa mematuhi prinsip-prinsip ini dalam setiap tindakan patik demi mengutamakan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Sultan Selangor menitahkan Siew Ki dan bekas Exco, Ronnie Liu Tian Khiew mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor di Shah Alam, bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.

Sultan Sharafuddin semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati dan enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di Selangor.

Baginda bertitah, meskipun arahan telah dikeluarkan sebelum ini, masih kedengaran rungutan yang mempertikaikan keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, Siew Ki semasa membahaskan titah Sultan Selangor itu memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.

Beliau dilaporkan berkata, cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara Ronnie Liu pula dilaporkan mencadangkan pen­ternak babi di Selangor memfailkan semakan kehaki­man terhadap larangan Sultan Selangor itu.

Menurut bekas Exco Selangor itu, tindakan tersebut perlu bagi membolehkan mahkamah menentukan kedudukan sebenar berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN