BDB peroleh kontrak selenggara jalan lebih RM251 juta

BDB peroleh kontrak selenggara jalan lebih RM251 juta

PEGAWAI Kewangan Negeri Kedah, Datuk Dr. Nadzman Mustaffa (kanan) menyerahkan Surat Setuju Terima kepada Che Abdul Khalid Md Din di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bina Darulaman Berhad (BDB) melalui anak syarikatnya, BDB Infra Sdn. Bhd. memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri bernilai RM251.65 juta daripada kerajaan negeri Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata, kontrak bagi tempoh lima tahun itu melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Zon 1 yang merangkumi daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap dan Pokok Sena.

Katanya, penganugerahan kontrak itu mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan negeri terhadap keupayaan dan kredibiliti BDB Infra dalam melaksanakan projek penyelenggaraan infrastruktur secara cekap, berkualiti dan konsisten.

“Penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan bermakna kepada Kumpulan BDB dan BDB Infra atas pengalaman serta rekod prestasi kami dalam sektor penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya.

“BDB komited memastikan projek ini dilaksanakan mengikut spesifikasi dan standard ditetapkan demi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya di negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Che Abdul Khalid berkata, kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan prestasi kewangan Kumpulan BDB bagi tempoh kewangan 2026 hingga 2031, sekali gus memperkukuh keyakinan pemegang taruh dan pelabur terhadap prospek pertumbuhan syarikat.

Menurut beliau, projek itu dijangka memberi impak positif kepada pembangunan infrastruktur negeri serta merangsang aktiviti ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan dan penglibatan rantaian bekalan tempatan.

“BDB Infra merupakan kontraktor Gred G7 yang mempunyai pengalaman dan rekod kerja yang cemerlang lebih 50 tahun dalam pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya serta operasi kuari di utara tanah air.

“Untuk rekod, bagi tempoh 10 tahun sejak 2015, BDB Infra menerima kontrak penyelenggaraan jalan daripada kerajaan negeri Kedah secara berterusan merangkumi beberapa daerah di negeri ini,” katanya.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN