Pemandu bas dipenjara setahun, simbah cat biru ke rumah mangsa

Pemandu bas dipenjara setahun, simbah cat biru ke rumah mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI : Seorang pemandu bas dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan khianat dengan cara menyimbah cat warna biru ke atas sebuah rumah di Taman Muhibbah, Saleng, minggu lalu.

Tertuduh, R. Haree, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret R. Salini.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan khianat dengan cara menyimbah cat warna biru dan yang telah menyebabkan kerugian berjumlah hampir RM1,000 terhadap mangsa.

Perbuatan itu dilakukan ke atas sebuah rumah di Jalan Jambu 21, Taman Muhibah, Saleng pada pukul 1.48 pagi, 15 Mei lalu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Bagi perbuatan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun atau tidak lebih lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Mahkamah, Inspektor Amy Dahlia Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut laporan polis, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun membuat laporan mengenai insiden simbah cat yang terkena pada pagar rumah dan kereta miliknya, pada 14 Mei lalu.

Bertindak di atas maklumat, pihak polis kemudiannya telah bertindak menahan pemandu bas berkenaan pada pukul 7.32 malam di Jalan Senai Utama 11, Taman Senai Utama, di sini, Isnin lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN