Isu 40 peratus Sabah: Keputusan permohonan Kerajaan Persekutuan Isnin depan

Isu 40 peratus Sabah: Keputusan permohonan Kerajaan Persekutuan Isnin depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan Isnin depan bagi keputusan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah (stay of execution) isu tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang turut bersidang bersama hakim-hakim Datuk Ismail Brahim dan K Muniandy, membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Semasa prosiding, Kerajaan Persekutuan selaku perayu diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, manakala Sabah Law Society (SLS) diwakili peguam, Dr. David Fung selaku responden pertama dan Peguam Besar Negeri Sabah diwakili oleh Datuk Brenndon Soh selaku responden kedua.

Terdahulu, Ahmad Hanir berhujah, penangguhan sementara itu bukan dibuat terhadap formula 40 peratus yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh dibaca bersama Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, serta keperluan untuk mengadakan semakan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, kata beliau, pihaknya memfailkan perkara tersebut pada 14 November 2025 terhadap sebahagian daripada penghakiman perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, berhubung dapatan mengenai tafsiran dan pemakaian Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan serta arahan mahkamah itu berkenaan cara atau proses untuk perayu mengadakan satu lagi semakan bersama responden kedua.

“Perintah Mahkamah Tinggi adalah bersifat terikat masa kerana ia mewajibkan perayu dan responden kedua mengambil langkah-langkah tertentu dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Tempoh 90 hari itu telah berakhir pada 14 Januari lalu dan perayu kini sedang terlibat dalam rundingan yang sedang berjalan bersama responden kedua bagi tujuan tersebut, manakala tempoh 180 hari untuk mencapai persetujuan akan tamat pada 15 April ini,” katanya.

Beliau selanjutnya menghujahkan rundingan bersama responden kedua adalah berhubung Geran Khas melibatkan penilaian menyeluruh terhadap kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta hasil bersih yang diperoleh dari Negeri Sabah bagi tempoh dari tahun 1974 hingga 2021.

Jelasnya, rundingan tersebut secara semula jadinya adalah kompleks dan memerlukan proses mengenal pasti, mengesahkan serta menyelaraskan data kewangan yang luas, penelitian terhadap dokumen dan rekod sejarah yang banyak selama kira-kira 47 tahun (dari 1974 hingga 2021), serta perundingan dan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, yang kesemuanya mempunyai implikasi kewangan dan fiskal yang signifikan.

“Sekiranya penangguhan sementara terhadap perintah Mahkamah Tinggi tidak dibenarkan, perayu akan mengalami prejudis yang serius kerana isu utama dalam rayuan ini akan hilang nilai praktikalnya dan menjadi bersifat akademik semata-mata,” katanya.

Sementara itu, David pula mempertikaikan rayuan berkenaan sama ada ia merupakan permohonan penangguhan sementara atau sebaliknya bertujuan mengelakkan pematuhan terhadap tempoh masa 180 hari yang ditetapkan.

Katanya, pihak perayu sebenarnya telah memulakan proses semakan, justeru adalah tidak konsisten untuk perayu memohon penangguhan sementara atas alasan kekangan masa.

“Isu utama adalah sifat sebenar permohonan ini. Jika mereka telah memulakan semakan, maka tidak wajar untuk memohon penangguhan sementara terhadap perintah yang sama,” katanya semasa prosiding itu.

David turut berhujah permohonan tersebut telah difailkan di mahkamah yang tidak bersesuaian untuk mempertimbangkan isu berkenaan.

Sekiranya isu masa menjadi kekangan, beliau berkata, permohonan yang lebih bersesuaian adalah dengan memohon lanjutan masa di Mahkamah Tinggi dan bukannya penangguhan sementara di Mahkamah Rayuan.

“Permohonan penangguhan dalam keadaan ini akan menjejaskan keseluruhan proses semakan yang sedang berjalan,” katanya.

Pada 17 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

Perkara itu mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Penghakiman berkenaan dibuat ketika mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SLS.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid mengarahkan Kerajaan Persekutuan membuat semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan membuat permohonan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah berhubung semakan kehakiman mengenai isu tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN