PUTRAJAYA: Perkataan kirim ‘salam’ oleh bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menerusi ‘orang tengah’ kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) didapati membawa maksud tersirat.
Elemen itu antara yang dihuraikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan ketika membaca keputusan penghakiman selama lebih sejam yang turut bersidang bersama Hakim Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Walaupun mengakui penyampaian ‘salam’ melalui orang tengah adalah satu amalan biasa, panel hakim berpandangan konteks komunikasi itu menunjukkan wujudnya elemen permintaan rasuah.
Beliau menjelaskan keterangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu telah menunjukkan dirinya menggunakan orang tengah untuk meminta dana politik daripada seorang ahli perniagaan.
Katanya, Mohd. Isa telah beberapa kali menyampaikan salam kepada bekas Pengarah dan Pemegang Saham GAPSB, Ikhwan Zaidel yang berjaya menjual Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) kepada Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB).
“Kami mengakui penyampaian salam melalui orang tengah adalah amalan biasa dalam kalangan umat Islam. Namun, dalam konteks kes ini, komunikasi responden (Mohd. Isa) yang disertai salam terbabit menyokong keterangan wujud permintaan atau desakan bagi pemberian dana. Itu membawa konotasi yang berbeza,” katanya.
Mahkamah turut menolak hujahan pembelaan mengenai orang tengah terbabit, iaitu bekas Pegawai Khas Politiknya, Muhammad Zahid Md Arip yang juga saksi pendakwaan ke-21 bertindak secara bersendirian, dengan menyatakan adalah tidak munasabah dana itu diminta tanpa kebenaran Mohd. Isa.
“Sebagai pegawai khas kepada responden, adalah sangat tidak munasabah Muhammad Zahid akan meminta atau mendesak dana terbabit untuk dirinya sendiri.
“Ia memerlukan seseorang yang mempunyai autoriti untuk meminta atau mendesak sejumlah wang yang besar. Dalam kes ini, responden adalah individu berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan di sini memerintahkan Mohd. Isa menjalani hukuman penjara enam tahun bermula hari ini dan denda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan rasuah berkaitan pembelian hotel di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Sekiranya gagal membayar denda itu, Mohd. Isa yang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh perlu menjalani tambahan 18 tahun hukuman pemenjaraan. – UTUSAN










