KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat karya agung pujangga Tamil, Thiruvalluvar ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar dengan gaya penyampaian bersahaja memetik ungkapan karya masyhur ‘Tirukkural’ yang dinukilkan Thiruvalluvar dalam rangkap ke-731:
“Thallaa Vilaiyulum Thakkaarum Thaazhvilaach Chelvarum Servadhu Naadu,” katanya.
Petikan itu membawa maksud negara yang unggul ialah negara yang subur hasil buminya, tinggi keilmuan dan budi rakyatnya serta makmur kekayaannya tanpa mengesampingkan akhlak.
Anwar berkata, pemikiran yang diungkapkan sejak zaman silam itu mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah negara tidak seharusnya hanya bersandarkan limpahan khazanah dan pembangunan fizikal, sebaliknya perlu disokong kebijaksanaan, keadilan serta kemuliaan insan.
Petikan berkenaan turut membawa mesej bahawa kemakmuran ekonomi perlu bergerak seiring dengan pembinaan masyarakat berilmu dan berakhlak, selari dengan matlamat pembangunan negara yang inklusif.
Menariknya, penekanan terhadap ilmu dan pembangunan insan itu hadir sebelum beliau mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) kekal menerima peruntukan tertinggi, berjumlah hampir RM69 bilion dalam Belanjawan 2027.
Peruntukan besar kepada sektor pendidikan itu memperlihatkan kepentingan pembangunan modal insan dalam usaha membina masa depan negara, selain memastikan sistem pendidikan terus diperkukuh demi manfaat generasi akan datang.
Rujukan kepada karya Thiruvalluvar juga menyerlahkan nilai sejagat yang merentasi latar belakang kaum dan budaya, dengan ilmu, keadilan, akhlak serta kemakmuran menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara yang berjaya. – UTUSAN











