PETALING JAYA: Sebanyak 555 titik panas dikesan di lima wilayah Indonesia ketika negara itu memperhebat operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah bagi mengurangkan kesan jerebu merentas sempadan.
Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur berkata, jumlah itu berdasarkan pemantauan selama 24 jam melalui sistem Sipongi yang menggabungkan data tiga satelit utama, dengan tahap keyakinan tinggi, setakat 6 Oktober lalu.
Menurut kedutaan itu, Kalimantan Tengah merekodkan jumlah tertinggi dengan 336 titik panas, diikuti Sumatera Selatan (142), Kalimantan Barat (48), Kalimantan Selatan (28) dan Jambi (satu).
“Daripada pemantauan tersebut, sebanyak 193 titik api aktif dikenal pasti dengan keseluruhan kawasan sasaran pemadaman seluas kira-kira 748.04 hektar.
“Melalui tindak balas pantas pasukan darat dan udara, kawasan yang berjaya dipadamkan mencapai kira-kira 560.60 hektar atau sekitar 75 peratus daripada keseluruhan kawasan sasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KBRI berkata, operasi pemadaman melibatkan tentera, polis, pasukan Manggala Agni, agensi pengurusan bencana pusat dan daerah serta sukarelawan masyarakat.
Operasi udara turut disokong 15 pesawat Casa bagi pengubahsuaian cuaca dan mencetuskan hujan buatan di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah serta Sumatera Selatan.
Sebanyak 35 helikopter pula menjalankan operasi pengeboman air di Kalimantan Selatan, Sumatera Selatan dan Jambi.
Menurut kedutaan itu, Kalimantan Tengah diletakkan di bawah status tanggap darurat, manakala tujuh wilayah lain berstatus siaga darurat bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi kebakaran.
Wilayah berkenaan ialah Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Selatan, Kalimantan Barat, Nusa Tenggara Barat dan Kalimantan Timur.
Dalam aspek penguatkuasaan, polis Indonesia mengendalikan 247 laporan membabitkan individu dengan 198 orang ditetapkan sebagai suspek, selain memproses 97 laporan membabitkan syarikat.
“Kementerian Kehutanan Indonesia turut mengenakan tindakan pentadbiran terhadap 26 pihak, termasuk menarik balik lima lesen usaha, membekukan 13 lesen serta mengenakan teguran bertulis atau arahan pemulihan terhadap lapan pihak.
“KBRI turut menyatakan keprihatinan terhadap kesan kebakaran itu, khususnya penurunan kualiti udara dan jerebu yang mengganggu aktiviti harian serta berpotensi menjejaskan kesihatan masyarakat di beberapa kawasan di Malaysia.
“Indonesia menyambut baik pengukuhan kerjasama dengan Malaysia dan negara sahabat dalam menangani kebakaran hutan dan tanah, sementara perwakilannya di Malaysia akan terus memudahkan komunikasi serta pertukaran maklumat berkaitan,” katanya.- UTUSAN










