UPM bangunkan kelas pintar ubah pengalaman pembelajaran

UPM bangunkan kelas pintar ubah pengalaman pembelajaran masa depan

KONSEP kelas pintar yang dibangunkan UPM memberi dimensi baharu pendidikan masa hadapan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penggunaan teknologi pintar dalam bilik darjah kini mampu mengubah landskap pembelajaran pelajar ke arah lebih interaktif, fleksibel dan berorientasikan masa depan.

Perkembangan itu sejajar dengan usaha institusi pendidikan tinggi untuk memastikan sistem pembelajaran tidak ketinggalan dalam arus transformasi pendigitalan global.

Profesor di Jabatan Pendidikan Sains Dan Teknikal, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Habibah Ab. Jalil berkata, idea pembangunan bilik darjah pintar tercetus apabila beliau mendapati persekitaran pembelajaran di universiti masih tidak banyak berubah sejak dahulu.

Menurutnya, walaupun teknologi berkembang pesat, struktur kelas dan pendekatan pengajaran masih kekal seperti ketika beliau sendiri bergelar pelajar.

“Apabila saya kembali ke universiti sebagai pensyarah, saya lihat kelas masih sama. Jadi timbul keperluan untuk melakukan perubahan agar pelajar lebih bersedia dengan dunia sebenar.

“Perubahan ini penting bagi memastikan pelajar tidak hanya belajar secara teori, sebaliknya didedahkan dengan penggunaan teknologi yang relevan,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Habibah memaklumkan bahawa beliau menjalankan pelbagai kajian serta penanda aras ke luar negara termasuk ke Singapura, Australia dan United Kingdom.

 

DR HABIBAH AB JALIL

Menurutnya, lawatan tersebut membuka ruang untuk memahami bagaimana teknologi digunakan dalam pendidikan secara lebih meluas dan berkesan.

“Hasil pemerhatian saya, konsep smart classroom mula dibangunkan dengan memberi penekanan kepada pembelajaran yang lebih interaktif dan berpusatkan pelajar.

“Teknologi yang digunakan antaranya ialah Internet of Things (IoT) bagi mengesan tahap keselesaan kelas, sistem kehadiran automatik serta penggunaan skrin interaktif,” katanya.

Selain itu, katanya, pelajar turut diberikan akses kepada peranti sendiri bagi membolehkan mereka berinteraksi dan berkolaborasi secara aktif dalam kelas.

KONSEP bilik darjah pintar dibangunkan dengan memberi penekanan kepada pembelajaran yang lebih interaktif dan berpusatkan pelajar.

“Pendekatan itu membolehkan pelajar tidak lagi hanya bergantung kepada satu sumber pengajaran, sebaliknya meneroka pembelajaran secara lebih bebas dan kreatif.

“Dalam masa sama, setiap sesi pembelajaran turut dirakam bagi membolehkan pelajar mengulang kaji semula kandungan yang telah dipelajari dan membantu pelajar memahami semula topik yang mungkin sukar difahami ketika sesi pengajaran berlangsung,” katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa teknologi bukanlah pengganti kepada peranan guru dalam bilik darjah.

Menurutnya, konsep ‘talaki’ atau pembelajaran secara bersemuka perlu terus dipelihara kerana ia membina hubungan antara guru dan pelajar.

 

 

BILIK darjah pintar yang dibangunkan UPM dilengkapi dengan peranti canggih untuk membantu pelajar
dan guru.

“Teknologi hanyalah alat untuk membantu. Ia tidak boleh menggantikan guru kerana interaksi bersemuka masih penting dalam proses pembelajaran,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berpandangan pendidikan masa depan perlu bergerak ke arah pembelajaran yang lebih fleksibel.

“Konsep seperti pembelajaran hibrid dan seamless learning dilihat mampu memenuhi keperluan pelajar masa kini.
“Melalui pendekatan ini, pelajar boleh belajar tanpa batasan tempat dan masa, sama ada secara fizikal atau dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar, Anom Nazirah Mohd Asran, 26, berkata, pelaksanaan bilik darjah itu dapat menjadikan pembelajaran lebih interaktif serta berpusatkan pelajar, selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.

“Pendekatan ini membolehkan pelajar membentuk kumpulan sendiri, bekerjasama secara aktif serta berhubung dengan rakan di seluruh dunia menerusi penggunaan teknologi digital.

“Guru pula berperanan sebagai fasilitator yang membimbing pelajar dapat meneroka pengetahuan baharu dan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik, kolaboratif dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×