PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengadakan perbincangan dengan keluarga 55 rakyat Malaysia mangsa tragedi di Nepal yang masih belum dapat dihubungi berhubung proses perundangan dan pentadbiran yang mungkin terpakai.
Menurut Wisma Putra, Kerajaan Nepal telah memaklumkan bahawa ia sedang mempertimbangkan langkah-langkah perundangan bagi menangani kes melibatkan individu yang terjejas akibat bencana tersebut dan statusnya masih belum dapat ditentukan, termasuk warga asing.
Bagaimanapun, katanya, langkah-langkah tersebut masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan setakat tarikh kenyataan ini, belum berkuat kuasa.
“Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal bagi mendapatkan penjelasan mengenai proses dan dokumentasi yang berkenaan sekiranya langkah tersebut dilaksanakan.
“Kerajaan Malaysia akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal serta menyelaras tindakan dengan agensi Malaysia berhubung proses-proses yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kementerian Luar mengadakan pertemuan dengan 95 waris terdekat dan wakil keluarga yang mewakili keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih dilaporkan belum dapat dihubungi susulan kejadian banjir dan tanah runtuh di Nepal.
Sesi yang diadakan di Wisma Putra itu bertujuan memaklumkan keluarga mengenai perkembangan terkini yang telah disahkan, di samping memberi ruang kepada mereka untuk mengemukakan pertanyaan secara langsung kepada Kementerian dan agensi-agensi yang terlibat dalam usaha Kerajaan.
Taklimat tersebut melibatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dengan setiap agensi memberikan penjelasan mengenai perkara di bawah bidang tanggungjawab masing-masing.
Kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut hadir bagi memberikan sokongan kepada ahli keluarga sepanjang sesi tersebut.
Wisma Putra memaklumkan, sebarang penentuan mengenai status seseorang individu serta pengeluaran sebarang dokumentasi rasmi adalah tertakluk kepada undang-undang dan prosedur yang terpakai serta pihak berkuasa yang berkenaan di Nepal dan Malaysia.
Kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal dan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan atas kerjasama berterusan yang diberikan.
“Kementerian menggesa orang ramai dan pihak media supaya menghormati privasi keluarga berkenaan serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kepada orang ramai berdasarkan maklumat yang telah disahkan melalui saluran rasmi,” katanya. – UTUSAN











