Sudah terlewat, pesawah tetap rugi

Sudah terlewat, pesawah tetap rugi

PESAWAH berharap jaminan pembekalan baja sebatian tambahan diselesaikan dalam tempoh 10 hari dapat direalisasikan oleh kerajaan.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jaminan penghantaran segera baki bekalan baja sebatian tambahan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dalam tempoh 10 hari bermula semalam tidak banyak membantu pesawah yang keba­nyakan usia tanaman sudah me­lebihi 70 hari.

Pesawah bagaimanapun tetap menanti tindakan penghantaran baja berkenaan dan berharap ia bukan sekadar janji semata-mata.

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, janji untuk menyelesaikan penghantaran baja tersebut sebenarnya sudah terlalu lewat memandangkan usia tanaman sudah melebihi 70 hari dan ada antara pesawah sudah menanti masa menuai hasil.

Katanya, biarpun baja sampai kepada petani, namun kebanya­kan pesawah tetap terpaksa menanggung kerugian berikutan hasil yang dijangka merosot antara 20 ke 40 peratus.

“Janji hendak selesai dalam 10 hari (penghantaran baja), kita tunggu. Baja sebatian tambahan tersebut sepatutnya diperlukan ketika tanaman padi memasuki peringkat reproduktif antara usia 40 hingga 60 hari bagi membantu pembentukan tangkai dan pengisian buah.

“Sekarang, kebanyakan usia tanaman sudah melebihi 70 hari. 10 hari bagi pihak kerajaan mungkin sekadar angka tetapi bagi pesawah, 10 hari itu boleh memberi kesan kepada tanaman, kos pengeluaran dan hasil mereka.

“Pesawah di kawasan Mada memerlukan baja sejak awal lagi dengan baja diperlukan mengikut jadual dan fasa tanaman,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin media melaporkan, isu kelewatan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di kawasan Mada akan diselesaikan segera dengan penghantaran baki bekalan dijadualkan bermula 3 September.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kerajaan mengambil keputusan menamatkan perkhid­matan Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd. bagi pembekalan itu susulan kelewatan berlaku.

Akhbar ini pernah melaporkan, kira-kira 38,000 pesawah yang masih belum menerima bekalan baja sebatian tambahan bagi kawasan seluas 78,117 hektar berdepan kerugian sehingga RM1.3 juta sehari berikutan kelewatan bekalan yang memberi kesan kepada tanaman padi.

Anggaran itu mengambil kira kerugian sekitar RM25 sehektar bagi setiap pesawah yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 52,000 hektar yang kini berada pada peringkat 31 hingga 75 hari usia tanaman.

Seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 63, pula berkata, usia tanaman padi di kawasan seluas dua hektar yang diusahakannya sudah melebihi 70 hari usia tanaman.

Katanya, dia terpaksa membeli baja ganti di luar dengan harga RM70 satu beg disebabkan kelewatan pembekalan baja tambahan itu.

“Saya memerlukan lapan beg untuk keluasan dua hektar tersebut yang menelan belanja sehingga RM560. Jika sebelum ini, hasil padi antara lima ke enam tan metrik perhektar boleh merosot sehingga 30 peratus ekoran kelewatan baja itu.

“Pendapatan saya daripada RM10,000 per hektar dijangka tinggal RM7,000 sahaja. Empat bulan membanting tulang di bendang, hanya boleh RM1,750 sebulan atau RM58 sehari. Dahulu, sebelum memulakan tanaman semua tiga jenis baja sudah tersedia, kini, tanaman berusia lebih dua bulan, baja masih belum muncul,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×