PUTRAJAYA: Sistem pendidikan pondok perlu mempunyai hubungan dengan institusi pengajian tinggi dan sistem pendidikan awam bagi mengelak wujudnya jurang antara aliran tradisional dengan pendidikan moden.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha memperkukuh sistem pondok tidak bermaksud pelajarnya perlu kekal dalam jurusan tradisional semata-mata, sebaliknya perlu diberikan pendedahan pendidikan yang membolehkan mereka meneruskan pengajian dalam sistem umum.
Beliau berkata, peluang untuk sebahagian pelajar pondok melanjutkan pengajian ke universiti juga penting kerana mereka berpotensi mempengaruhi sistem pendidikan pada peringkat awal.
“Kalau tidak, nanti ada dua. Satu jurusan pondok, tradisional, satu jurusan ini, ada pertembungan di antara dua disiplin itu,” katanya berucap pada Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Katanya, strategi yang perlu dilaksanakan ialah memperkukuh sistem pondok sehingga ke peringkat tertinggi dan pada masa sama memastikan asas pendidikan yang diberikan membolehkan pelajar mendapat pendedahan untuk memasuki sistem awam dan umum.
Anwar berkata, tidak semestinya semua pelajar yang mengikuti pendidikan pondok perlu memasuki universiti, namun laluan berkenaan perlu tersedia bagi mereka yang ingin meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan sistem pondok tidak terasing daripada perkembangan pendidikan semasa, sebaliknya menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan yang lebih luas.
“Kerajaan turut menggalakkan pakar serta pihak berkaitan meneruskan usaha merangka bentuk pendidikan yang bersesuaian bagi memperkukuh institusi pondok,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan akan membantu setakat kemampuan bagi memastikan usaha memperkukuh sistem pondok dapat dilaksanakan secara berperingkat dan mempunyai hala tuju yang jelas.
Jelasnya lagi, kerajaan bersedia membantu memilih beberapa sekolah pondok sebagai perintis bagi memulakan tradisi ilmu baharu serta pengkhususan berdasarkan manhaj tarbiyah dan disiplin yang dicadangkan ulama.
“Yang dicadangkan di sini yang saya terima kerajaan membantu segera, iaitu pilih beberapa pondok yang boleh memulakan tradisi ilmu yang baru yang dikemukakan ini dan mengkhususkan berdasarkan manhaj tarbiyah disiplin,” katanya. – UTUSAN











