RAUB: Seorang pesara Telekom Malaysia (TM) menyimpan koleksi unik 37 telefon lama sejak lebih empat dekad lalu, sekali gus mengimbas perjalanan teknologi komunikasi negara daripada era dail pusingan hingga ke zaman digital.
Pesara berkenaan, Abdul Majid Hussin, 66, berkata, koleksi telefon tersebut dikumpul sejak mula bertugas pada April 1983 di bandar Raub sehingga bersara sebagai Pegawai Teknik TM pada 1 September 2017.
“Telefon berkenaan bermula dengan mendail nombor menggunakan piring berputar sebelum beralih kepada cara tekan butang dan akhirnya memasuki era digital.
“Tetapi saya hanya menyimpan koleksi telefon lama sebagai nostalgia sewaktu bertugas di bahagian teknik selain menghargai jasa TM yang menyumbang perkhidmatan telekomunikasi terbaik selepas negara merdeka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Kuala Keloi, Ulu Dong, di sini semalam.
Abdul Majid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung itu berkata, minat menyimpan telefon lama bermula sejak 43 tahun lalu dengan mengambil peralatan rosak yang tidak lagi digunakan.
“Saya membawa pulang ke rumah, membersihkan dan menyimpannya di dalam almari untuk pameran supaya dapat dilihat oleh anak, cucu serta tetamu yang bertandang,” ujarnya.
Menurutnya, koleksi tersebut merangkumi telefon era 1970-an hingga 1980-an yang menggunakan piring nombor berwarna kelabu, putih atau kuning cair gading.
“Selain itu terdapat telefon meja keluaran 1980-an dan 1990-an berwarna kelabu, putih dan beberapa warna lain yang dihasilkan syarikat tempatan seperti Sapura bagi kegunaan talian tetap rumah. Koleksi ini juga termasuk telefon trimline rekaan era 80-an di mana pad kekunci nombor terletak terus pada bahagian gagang,” jelasnya.
Abdul Majid berkata, setiap peralatan dijaga rapi dan digilap bagi menghilangkan debu serta mengekalkan warna tulen supaya dapat membuktikan sejarah awal komunikasi negara berasaskan peranan serta kejayaan TM selepas merdeka. –UTUSAN










