Sekolah disaran menyediakan tuala wanita secara percuma sebagai antara langkah menangani kemiskinan haid dalam kalangan pelajar perempuan, khususnya pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, bekalan itu boleh ditempatkan di tandas perempuan supaya mudah diperoleh pelajar ketika diperlukan.
Beliau berkata, sekolah juga boleh mewujudkan tabung khas bagi menampung penyediaan tuala wanita secara percuma atau pada harga rendah susulan peningkatan kos barangan keperluan ketika ini.
“Pihak sekolah mungkin boleh menyediakan bekalan tuala wanita di tandas perempuan untuk pelajar yang benar-benar memerlukan.
“Kita tahu harga barangan semakin meningkat, termasuk tuala wanita.
“Keadaan ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan mereka yang tidak mempunyai kemampuan kewangan mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kemiskinan Haid anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS), di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau II, baru-baru ini .
Program julung kali itu menghimpunkan kira-kira 250 pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun bagi memberikan pendedahan berhubung penjagaan dan pengurusan kebersihan haid yang betul.
Rina berkata, kemiskinan haid bukan sekadar merujuk kepada ketidakmampuan membeli tuala wanita, malah merangkumi kekurangan akses kepada maklumat, ruang privasi, sumber air bersih dan kemudahan pelupusan bahan haid terpakai.
Katanya, kerjasama merentas kementerian dan agensi diperlukan bagi memastikan Pengurusan Kebersihan Haid (MHM) dilaksanakan secara menyeluruh, khususnya di sekolah dan institusi pendidikan.
“Kita tidak boleh lagi menutup mata dan menganggap isu ini remeh. Seorang anak gadis tidak sepatutnya tercicir daripada pendidikan hanya kerana proses biologi semula jadi yang dilaluinya setiap bulan,” katanya.
Beliau turut berharap YADIM atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat menyediakan platform rujukan khusus bagi memudahkan remaja, terutama pelajar, memperoleh maklumat, bantuan serta produk pengurusan haid.
Katanya, isu kemiskinan haid turut berkait rapat dengan hak kanak-kanak perempuan dan wanita untuk memperoleh produk haid, pendidikan dan kemudahan kebersihan yang mencukupi.-UTUSAN











