Raih RM11,000 sekali tuai lada bara

Raih RM11,000 sekali tuai lada bara

MOHD. Muizman Shaari menimbang lada bara yang siap dipetik untuk dipasarkan keluar di Felda Sungai Tekam di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

​JERANTUT: Mengelak daripada terus bergantung kepada hasil kelapa sawit keluarga, dua pemuda di Felda Sungai Tekam di sini, membuktikan keupayaan berdikari menerusi projek tanaman lada bara secara fertigasi komersial yang memperoleh hasil mencecah RM11,000 sekali tuaian.

​Usaha gigih Mohd. Muizman Shaari, 31, bersama rakannya, Mohd. Naim Mardan, 36, yang mengerah kudrat dan berkongsi modal serta kemahiran pertanian, membuahkan hasil apabila mampu memasarkan lebih 1,800 kilogram (kg) lada bara sejak Mei lalu.

​Projek di atas tanah seluas 0.8 hektar milik Felda itu dimulakan pada 25 Februari lepas dengan modal awal RM30,000 bagi penyediaan tapak, sistem paip, tangki air, beg fertigasi, benih dan baja.

​Mengimbas kembali permulaan projek, Mohd. Muizman berkata, sebanyak 2,164 polibeg disediakan pada fasa awal sebelum tanaman berkenaan mula mengeluarkan hasil pertamanya dalam tempoh 207 hari.

​Katanya, persediaan tapak dan pengurusan sistem tanaman fertigasi berkenaan disiapkan dalam tempoh tiga ming­gu sahaja hasil memanfaatkan kemahiran teknikal yang dimiliki Mohd. Naim.

“​Berkat penjagaan rapi, jumlah tanaman berkembang pesat daripada 2,164 polibeg kepada 5,228 batang pokok lada bara dalam tempoh tiga bulan, sekali gus melonjakkan volum pengeluaran hasil secara mendadak.

“​Bagi tuaian pertama, kami meraih hasil seberat 600kg yang dijual secara borong pada harga RM15 hingga RM19 sekilogram kepada peniaga di pasar Temerloh, Jerantut dan Bandar Pusat Jengka dengan pendapatan kasar RM11,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mohd. Muizman berkata, pro­jek pertanian moden itu turut membuka peluang rezeki kepada masyarakat setempat apabila meraih khidmat 20 pekerja Orang Asli etnik Semaq Beri dari kampung berdekatan bagi kerja-kerja memetik lada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×