MELAKA: DAP Melaka mahu membuat kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menyasarkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, parti itu melihat Duyong sebagai antara kawasan berpotensi untuk dirampas daripada Barisan Nasional (BN) yang kini disandang, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem.
Menurutnya, peluang DAP untuk merampas DUN Duyong terbuka berdasarkan keputusan PRN Melaka 2021 apabila calon DAP ketika itu Damian Yeo Shen Li, hanya tewas kepada Mohd Noor Helmy dengan majoriti tipis 200 undi.
Selain DUN Duyong menurutnya, DAP yakin mempertahankan empat kerusi yang dimenangi parti itu pada PRN lalu dengan mengekal penyandangnya iaitu Low Chee Leong (Kota Laksamana), Leng Chau Yen (Banda Hilir), Alex Seah Shoo Chin (Kesidang) dan Kirk Chee Yee (Ayer Keroh).
“DAP Melaka telah memaklumkan hasrat untuk bertanding lapan kerusi kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang kini sedang menilai calon-calon yang kami kemukakan.
“Selain empat kerusi yang kami menang iaitu Kota Laksamana, Banda Hilir, Kesidang dan Ayer Keroh, kami turut berhasrat bertanding di Duyong, Pengkalan Batu, Gadek dan Bemban.
“Secara keseluruhan, kami menyasarkan lapan kerusi dan berharap dapat menambah jumlah kemenangan berbanding empat kerusi yang dimenangi sebelum ini yang pastinya di Duyong,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-60 DAP Malaysia di Cheng, di sini malam tadi.
Yang hadir sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming
Menurut Khoo, DAP tidak menolak kemungkinan menampilkan calon yang mempunyai latar belakang dan ciri tersendiri bagi menghadapi persaingan sengit di DUN Duyong nanti.
Katanya, pandangan bekas ADUN Duyong, Damian Yeo yang sebelum ini menyarankan supaya calon luar biasa diketengahkan di kawasan berkenaan turut akan diambil kira dalam proses pemilihan calon
Dalam pada itu, Khoo berkata, senarai nama bakal calon bagi lapan kerusi yang disasarkan itu telah dihantar kepada pimpinan DAP di peringkat pusat untuk pertimbangan dan kelulusan. – UTUSAN










