Prabowo terima tawaran Malaysia tangani kebakaran

Prabowo terima tawaran Malaysia tangani kebakaran

AHMAD Zahid Hamidi ketika pertemuan dengan Prabowo Subianto dalam pertemuan di Istana Hambalang sempena lawatan kerjanya ke Jakarta, Indonesia. – ihsan Biro Pers, Media, dan Informasi Sekretariat Presiden.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menerima tawaran Malaysia untuk membantu menangani kebakaran dan masalah jerebu di Indonesia yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran berkenaan bukan sekadar usaha jangka pendek bagi memadamkan kebakaran, sebaliknya turut melibatkan perancangan jangka panjang bagi memastikan masalah jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah tidak berulang.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan dengan Prabowo dalam pertemuan dua jam di Istana Hambalang kelmarin sempena lawatan kerjanya ke Jakarta.

Persetujuan itu termasuk mengenai langkah proaktif yang perlu dilaksanakan bagi menangani kebakaran bukan sahaja di Kalimantan, malah di Sumatera dan beberapa wilayah lain di Indonesia.

“Sebagaimana yang saya nyatakan, ini bukan satu gesture yang menjadi keputusan oleh kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk sama-sama menangani permasalahan ini bukan hanya untuk jangka pendek bagi memadamkan kebakaran berkenaan.

“Tetapi kita telah berbincang dan persetujuan telah dicapai untuk perancangan jangka panjang supaya masalah jerebu ini tidak berulang akibat daripada kebakaran.

“Bukan hanya di Kalimantan tetapi juga di Sumatera dan di beberapa wilayah Indonesia yang lain,” katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia selepas sesi lawatan kerja tiga hari beliau ke Jakarta di sini semalam.

Sebelum itu, Ahmad Zahid menawarkan bantuan Malaysia secara rasmi kepada Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka dalam pertemuan pada Khamis lalu bagi membolehkan Malaysia membantu usaha memadam kebakaran dengan menyiram air di kawasan terbakar, tertakluk kepada keizinan Indonesia.

Malaysia bersedia menghantar sebuah pesawat amfibi Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu, khususnya di Sarawak.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan diminta menyelaraskan bantuan itu dengan NADMA, APMM, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), TUDM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkaitan.

“Oleh kerana keizinan telah diperoleh daripada Presiden Prabowo, tentu koordinasi di peringkat kementerian, jabatan dan agensi harus dilakukan dan saya mengharapkan Kementerian Luar dalam melakukan koordinasi ini dapat memastikan semua pihak terlibat dalam operasi ini melakukan usaha yang terselaras,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, sebanyak 1,426 titik panas direkodkan di Kalimantan, sekali gus memerlukan tindakan berterusan dan pendekatan jangka panjang bagi mengurangkan risiko kebakaran serta pencemaran jerebu.

Menurut beliau, Presiden Prabowo memaklumkan tindakan perundangan diambil terhadap 95 syarikat yang didapati terlibat dalam kebakaran secara terbuka di kawasan berkenaan di Kalimantan.

Mengenai sama ada terdapat syarikat Malaysia dalam kalangan 95 syarikat itu, Ahmad Zahid berkata tiada maklumat mengenainya diberikan setakat ini dan pihak Indonesia sedang meneliti jika terdapat penglibatan dari Malaysia.

“Syarikat-syarikat itu didaftarkan atas nama syarikat yang didaftarkan di Indonesia, mungkin dari segi pemegang saham terdapat beberapa jumlah yang kecil syarikat-syarikat berkenaan dimiliki oleh pemegang saham daripada Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×