Pink Panthers wakil Pahang ke Senam Seni 2.0

Pink Panthers wakil Pahang ke Senam Seni 2.0

Sebanyak 13 pasukan menyertai pertandingan Senam Seni peringkat Negeri Pahang di JKKN Pahang di Kuantan hari inj.-UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hanya berbekalkan latihan intensif selama tiga hingga empat hari kumpulan Pink Panthers dari Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan mencipta kejutan apabila muncul juara Pertandingan Senam Seni 2.0 Peringkat Negeri Pahang 2026, sekali gus layak mewakili negeri ini ke peringkat kebangsaan tahun depan.

Lebih manis, kejayaan sulung itu turut dilengkapi Anugerah Koreografi Terbaik, membuktikan kreativiti dan kesungguhan sembilan pelajar berkenaan berjaya menambat perhatian juri walaupun pertama kali menyertai pertandingan tersebut.

Naib johan dimenangi kumpulan Seri Kencana dari SMK Sungai Isap Murni, manakala tempat ketiga menjadi milik Ratna Sari daripada SMK Pelindung. Aurora Elite daripada SMK Tanjong Lumpur di tempat keempat, manakala

Rentak Pertiwi daripada SMK Beserah menduduki tempat kelima.

Kumpulan Ratna Sari turut meraih Anugerah Pakaian Terbaik dalam pertandingan yang disertai 13 pasukan sekolah menengah dari seluruh Pahang itu.

Perasmian pertandingan tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, Mohd. Rizal Ismail di JKKN Pahang di sini, baru- baru ini.

Mohd. Rizal berkata, Senam Seni 2.0 berpotensi menjadi identiti baharu aktiviti kecergasan negara kerana menggabungkan elemen kecergasan fizikal dengan seni dan budaya tempatan.

Katanya, program itu dibangunkan sebagai alternatif kepada senaman popular seperti zumba dan poco-poco, namun mempunyai keistimewaan tersendiri apabila pergerakannya berteraskan identiti budaya Malaysia.
“Produk ini merupakan acuan Malaysia yang perlu dibanggakan oleh seluruh rakyat. Kita mahu Senam Seni 2.0 menjadi pilihan masyarakat sebagai aktiviti kecergasan yang bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah memartabatkan seni dan budaya negara.

“Senam Seni mula diperkenalkan di Dataran Merdeka pada 2024 sebelum Senam Seni 2.0 dilancarkan di Temerloh pada tahun lalu dan kini terus diperkasakan menerusi pertandingan di peringkat negeri bagi mencungkil bakat baharu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×