Pembantu jurujual kedai emas didakwa tipu pakej umrah

Pembantu jurujual kedai emas didakwa tipu pakej umrah

SYED Syafiq Syed Azhar (tengah) dibawa ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Seorang pembantu jurujual kedai emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu berhubung pakej umrah persendirian sehingga menyebabkan kerugian RM35,736, tahun lalu.

Tertuduh, Syed Syafiq Syed Azhar, 38, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan pengadu pada sekitar Februari 2025 dengan membuat representasi bahawa dia boleh menyediakan dan menguruskan pakej umrah persendirian merangkumi penerbangan pergi dan balik serta penginapan di Mekah dan Madinah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, representasi itu didakwa palsu dan tidak benar sehingga mendorong pengadu menyerahkan wang berjumlah RM35,736 kepada tertuduh melalui akaun atas nama syarikat yang didaftarkan atas namanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, dalam daerah Barat Daya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh juga menjalankan aktiviti perkhidmatan pakej pelancongan umrah persendirian tanpa lesen sah daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta tidak mempunyai lesen Syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

Tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hazarul Iqram Rozahan manakala pendakwaan dikendalikan Muhammad Sofi Jaafar.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan berjumlah RM12,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh memohon agar wang jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan berjumlah RM7,500 dengan seorang penjamin dan sebutan kes ditetapkan pada 19 November depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×