PETALING JAYA: Sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields dekat sini kerugian kira-kira RM9.7 juta selepas 15 kilogram barangan kemas milik premis itu dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata api, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, empat suspek lelaki yang identitinya belum dikenal pasti dipercayai memasuki premis berkenaan dengan bersenjatakan dua pucuk pistol.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek bertindak melarikan sebanyak 21 dulang emas dengan anggaran berat lebih 15 kilogram.
“Selain itu, suspek turut melarikan selaras senapang patah milik pengawal keselamatan bersama sebutir peluru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata.
“Setakat ini, kes masih dalam siasatan dan usaha mengesan semua suspek sedang giat dijalankan,” ujarnya.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN










