SUNGAI PETANI: Kedai Emas Hajjah Halijah Sdn. Bhd. menawarkan tas tangan emas rekaan eksklusif menggunakan 100 peratus emas tulen 916 dengan berat bermula 500 gram sebagai koleksi perhiasan terbaharu tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kedai Emas Hajjah Halijah, Mohd. Shaiful Hasri Shukri berkata, sebanyak tujuh pilihan rekaan tas tangan emas itu dengan reka bentuk dan motif terkini bagi menepati cita rasa wanita.
“Sebagai usahawan emas, kami sentiasa mencari idea baharu menarik minat penggemar emas terutamanya wanita dan tahun ini kami tampilkan tas tangan emas dengan rekaan eksklusif yang boleh diukir nama,” katanya pada Majlis Pelancaran Jom Menabung bersama Kedai Emas Hajjah Halijah dan Makan Malam Bersama Pelanggan di sini.
Kedai Emas Hajjah Halijah turut menawarkan lebih 300 rekaan perhiasan emas popular selain akan mengeluarkan lima hingga 10 rekaan eksklusif baharu setiap bulan dengan rekaan popular adalah rekaan gelang tangan Dubai karang dua dan rekaan rantai tangan klasik.
Mohd. Shaiful berkata, pihaknya menggalakkan orang ramai menyimpan emas sebagai aset masa depan menerusi Program Jom Menabung bersama Kedai Emas Hajjah Halijah dan hingga kini seramai 1,487 peserta.
Beliau berharap lebih ramai pelanggan menggunakan kesempatan untuk membuat simpanan emas sebagai aset berikutan nilai apungannya lebih tinggi.
Katanya, pelaksanaan program tabungan emas itu berkonsepkan simpanan mengikut berat dengan peserta boleh memulakan simpanan emas serendah 0.3 gram sama ada jenis emas 916 atau 999.
“Dengan hanya mengenakan bayaran simpanan paling minimum sebanyak RM100 untuk emas seberat 0.3 gram, kami berharap program ini dapat disertai pelbagai lapisan masyarakat. Kita tak perlu kaya untuk simpan emas, tapi simpanlah emas untuk lindungi kekayaan di masa depan,” Katanya.
Beliau berkata, program berkenaan wujud selepas terinspirasi dengan kejayaan ibunya, Halijah Saad sebagai pengasas kedai emas yang hanya bermula dari menyimpan sedikit emas sehingga berjaya membina legasi perniagaan.
“Ibu bermula dengan kutu emas lalu mengajak kenalannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan untuk sertai. Ibu kutip duit dan bagi emas kepada mereka dan dari situ dia ajar simpan emas sebagai aset.
“Mandat itu kini diberikan kepada saya, namun bukan sekadar menguruskan legasi kedai emas Hajjah Halijah tetapi menyambung usaha ibu mendidik orang ramai menyimpan emas sebagai aset masa depan,” katanya.
Program Jom Menabung bersama Kedai Emas Hajjah Halijah diperkenalkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, patuh syariah dan mendapat sambutan ramai.-UTUSAN










