SEREMBAN: Seorang pemandu lori didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menghantar tiga gambar dan dua video lucah bekas isterinya kepada suami wanita berkenaan menerusi aplikasi Whatsapp.
Mohd. Suhaimi Yusof, 50, membuat pengakuan itu selepas lima pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mahkamah menjatuhkan denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan, dengan hukuman penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan jika tertuduh gagal membayar denda.
Mengikut lima pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah sifatnya kepada seorang lelaki dengan niat untuk mengganggunya.
Tiga gambar berkenaan dihantar kira-kira pukul 7.22 malam, manakala dua video pula dihantar masing-masing kira-kira pukul 9.58 dan 9.59 malam, pada 22 Mac 2023.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Mantin, dalam daerah Seremban.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pengadu menerima beberapa gambar dan video berunsur lucah daripada tertuduh yang merupakan bekas suami kepada isterinya.
Pengadu berasa amat terkilan dan terganggu selepas menerima serta melihat kandungan berkenaan yang memaparkan isterinya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia reda sekiranya dihukum penjara.
Dia memberitahu mahkamah bahawa dia kini bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai empat anak, tiga daripadanya masih bersekolah, namun kesemua anak dijaga bekas isterinya.
Tertuduh turut memberitahu mahkamah bahawa dia bertindak demikian kerana berang selepas mendakwa dirinya ditipu.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Shahrul Rizal menasihatkan tertuduh supaya berfikir terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan, terutama apabila berdepan masalah peribadi.
“Apa-apa pun kamu kena fikir sebelum buat tindakan. Tak kisahlah kamu ada isu peribadi atau isu lain. Tetapi bila kamu buat benda-benda macam ini, akibatnya kamu sendiri yang kena tanggung.
“Nasihat saya selepas ini, fikir dulu baik buruk,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah/Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohamad Farhan Kamarudin. – UTUSAN










