PETALING JAYA: Jabatan Penjara Malaysia bersedia melaksanakan sebarang arahan rasmi berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Namun sehingga kini jabatan itu memaklumkan, masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis berhubung keputusan tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut bagi melaksanakan keputusan berkenaan dapat ditentukan.
Katanya, sebagai makluman, sebarang pemakluman dan dokumen rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan akan disampaikan melalui saluran rasmi yang sewajarnya sebelum dikemukakan kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
“Jabatan Penjara Malaysia sentiasa bersedia untuk melaksanakan sebarang arahan rasmi yang diterima daripada pihak berkuasa yang berkenaan, selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan penjara serta tata cara dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.
“Jabatan ini akan melaksanakan sebarang keputusan dan arahan yang diterima secara teratur, profesional dan berintegriti, selaras dengan peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, Jabatan Penjara menyeru semua pihak supaya merujuk kepada sumber rasmi dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pelaksanaan keputusan berkenaan.
Sementara itu, sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia surat rasmi berhubung keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sepatutnya boleh dikeluarkan dalam jangka masa terdekat.
Bagaimanapun, tempoh masa bagi mengeluarkan dokumentasi rasmi itu bagaimanapun belum dapat dipastikan secara terperinci.
“Mungkin tindakan ini mengambil masa selama tiga hari, atau dua minggu. Tetapi secara amnya, dalam keadaan sebegini, perkara itu sepatutnya boleh dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya ringkas.
Kata sumber itu, tiada had masa ditetapkan untuk Najib menjelaskan bayaran denda RM50 juta susulan keputusan yang membenarkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
“Selagi RM50 juta itu belum dibayar, Najib masih berada di dalam penjara. Selepas bayaran dibuat pun, masih ada proses-proses seterusnya yang perlu dilalui sebelum pelaksanaan tahanan rumah dapat dibuat,” jelasnya.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar ketika dihubungi turut memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak akan diperincikan oleh Jabatan Penjara.
Malah, katanya, sebarang pemakluman rasmi juga mengenai pelaksanaan tahanan rumah adalah tertakluk Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum
Jabatan Penjara mengambil tindakan berdasarkan keputusan berkenaan.
“Mereka akan memperincikan aspek lawatan, kawalan serta pemantauan pergerakan bekas Perdana Menteri itu. Mungkin ada SOP yang akan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi.- UTUSAN











