Pelajar tahfiz buktikan mampu cemerlang di universiti AS

Pelajar tahfiz buktikan mampu cemerlang di universiti Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Latar belakang pendidikan tahfiz bukan penghalang untuk seseorang pelajar melanjutkan pengajian dan mencapai kejayaan dalam bidang lain, termasuk di peringkat antarabangsa.

Perkara itu dibuktikan oleh Izzhan Isman, seorang graduan Michigan State University (MSU), Amerika Syarikat yang turut menerima pengiktirafan menyertai program latihan pegawai simpanan tentera, Army Reserve Officers’ Training Corps (ROTC), di universiti berkenaan.

Izzhan berkata, disiplin mental yang dipupuk melalui hafazan al-Quran membantunya menghadapi tuntutan pengajian di universiti.

“Pelajar tahfiz tidak sepatutnya berasa terbatas dalam apa-apa bidang, sama ada seni, perubatan atau ekonomi.

“Hafazan al-Quran merupakan latihan minda yang sangat baik kerana melatih seseorang menghafal dan memahami pada masa yang sama.

“Dengan menerapkan disiplin mental yang sama dalam pengajian saya di Amerika Syarikat, saya membuktikan bahawa jika seseorang mampu menguasai al-Quran, dia juga mampu mempelajari perkara lain,” katanya dalam hantaran Facebook Kedutaan Amerika Syarikat.

Menurut Izzhan, pendidikan agama yang diterimanya sejak awal turut membantu membentuk jati diri serta prinsip yang menjadi panduan sepanjang berada di luar negara.

Katanya, pegangan tersebut membolehkannya menyesuaikan diri dengan kehidupan dan tuntutan akademik di MSU, selain mendorongnya menjadi contoh kepada generasi akan datang.

Mengulas penyertaannya dalam Army ROTC, beliau berkata, program itu dipilih untuk mencabar kemampuan diri serta membina sahsiah melalui latihan yang menuntut ketahanan fizikal dan mental.

“Sebagai pelajar antarabangsa, penyertaan saya bukan sesuatu yang diwajibkan, tetapi saya kekal komited sehingga tamat pengajian.

“Terkesan dengan komitmen itu, Leftenan Kolonel Sisoura memberikan saya surat penghargaan dan syiling cabaran pertama daripada Spartan Battalion,” katanya.

Izzhan turut berkongsi pendekatannya ketika berdepan masalah rumit, iaitu dengan memperincikan sesuatu masalah, mengenal pasti punca utama, menilai penyelesaian yang berpotensi sebelum merancang dan melaksanakan tindakan.

“Pendekatan itu boleh digunakan sama ada dalam kehidupan seharian mahupun dunia korporat,” katanya.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×