Pelajar senior direman 6 hari bantu siasatan kematian

Pelajar senior direman 6 hari bantu siasatan kematian di SMK Za’ba

ALZAFNY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, permohonan reman berkaitan kes berkenaan telah dijalankan di Mahkamah Majistret Kuala Pilah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

“Reman enam hari bermula hari ini (semalam),” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Alzafny berkata, punca kematian Muhammad Idlan Fareeq Shahril masih belum dapat ditentukan selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

Katanya, proses bedah siasat terhadap mangsa dijalankan bermula pukul 10.30 pagi hingga 3 petang semalam oleh Pakar Patologi Forensik HTJ, Dr. Akma Nurain Fairuz Mahamad Arif.

“Berdasarkan hasil bedah siasat, punca kematian masih belum dapat ditentukan pada masa ini dan pihak hospital masih menunggu keputusan ujian lanjutan,” katanya.

Alzafny berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam sebelum mangsa dibawa ke Hospital Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.

“Susulan kejadian tersebut, pihak polis telah menjalankan siasatan segera di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan telah menahan seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun.

“Pihak polis juga sedang meneliti semua fakta dan bukti bagi menentukan punca dan motif sebenar kejadian,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, yang ditemukan tidak sedarkan diri di asrama SMK Za’ba dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), namun Allahyarham disahkan meninggal dunia pada malam kelmarin.

Dalam pada itu, Alzafny menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan dan privasi keluarga pelajar yang terlibat.

“Pihak polis memandang serius sebarang kejadian keganasan yang melibatkan pelajar khususnya kejadian yang mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta supaya tampil membantu siasatan.

“Keutamaan polis adalah memastikan siasatan dijalankan secara profesional, menyeluruh dan berdasarkan bukti bagi memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×