Mata kail bersepah di Pantai Geting undang bahaya

Mata kail bersepah di Pantai Geting undang bahaya

RAJA Andik Muhammad Irwan menunjukkan mata kail yang ditemukan di pesisir Pantai Geting, Tumpat, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Pengunjung Pantai Geting di sini bimbang keselamatan mereka terancam apabila ratusan mata kail ditemukan bersepah di sepanjang pesisir pantai itu, dipercayai ditinggalkan kaki pancing.

Lebih membimbangkan, mata kail berkenaan ditemukan di sepanjang pesisir pantai itu sejak April lalu, iaitu ketika Pantai Geting menjadi tumpuan pemancing yang memburu ikan gelama.

Memburukkan keadaan, seorang kanak-kanak mengalami kecederaan selepas terpijak mata kail di situ pada 4 Ogos lalu.

Anggota Penyelamat Pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tumpat, Raja Andik Muhammad Irwan berkata, kira-kira 50 pemancing biasanya bertumpu di Pantai Geting pada malam Jumaat.

Katanya, setiap kali rondaan dilakukan pada keesokannya, anggota APM akan menemukan dan mengutip mata kail yang ditinggalkan pemancing bagi mengelakkan ia dipijak pengunjung.

“Biasanya malam Jumaat, kira-kira 50 pemancing bertumpu di pantai ini.

“Keesokannya, setiap kali meronda di pesisir pantai ini, kami menemukan mata kail yang ditinggalkan pemancing.

“Kejadian kanak-kanak perempuan terpijak mata kail pada 4 Ogos lalu membuktikan ancaman itu bukan lagi sekadar kebimbangan pengunjung,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nor Asyikin Mat Nor, 37, berkata, dia terkejut apabila mendapati mata kail yang sudah berkarat tersangkut pada selipar anaknya ketika berada di pantai berkenaan.

Katanya, dia bersyukur kerana mata kail tersebut tidak menusuk tapak kaki anaknya.

“Sangat bahaya kepada pengunjung, terutama kanak-kanak.

“Lagipun, anak-anak kecil ini suka berlari tanpa memakai selipar di atas pasir pantai. Kalau terpijak mata kail, boleh cedera kaki,” katanya.

Bagi Mohd. Akmal Abdullah, 30, dia ke Pantai Geting untuk berkelah namun tidak menyangka pesisir pantai itu dipenuhi mata kail yang boleh mengundang bahaya.

“Mata kail itu tersembunyi dalam pasir. Perlu berhati-hati ketika berjalan di pesisir pantai ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×