SEREMBAN: Malaysia bersedia menghantar pakar DNA Jabatan Kimia ke Nepal bagi membantu proses pengecaman identiti mangsa bencana banjir.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penghantaran pakar berkenaan dilaksanakan sekiranya diperlukan bagi membantu pihak berkuasa Nepal mempercepatkan proses pengecaman mangsa.
Katanya, sampel DNA waris terdekat bagi 55 mangsa yang masih belum dikesan telah selesai diambil dan akan dihantar ke Nepal untuk proses padanan.
“Kalau perlu, kita akan menghantar pakar-pakar daripada Jabatan Kimia untuk membantu pihak berkuasa Nepal mengenal pasti dan membuat padanan DNA.
“Banyak mangsa yang terlibat dan ia memerlukan masa yang panjang untuk membuat padanan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kemerdekaan Pinggiran Senawang anjuran UMNO dan KRT Pinggiran Senawang di Taman Pinggiran Senawang, di sini hari ini.
Mohamad berkata, beberapa negara lain juga akan menghantar pakar DNA ke Nepal bagi membantu pihak berkuasa negara itu mempercepatkan proses pengecaman identiti mangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata, Nepal hanya membenarkan Malaysia menghantar 10 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Berdasarkan pengalaman ketika gempa bumi di Kathmandu sebelum ini, terlalu banyak pasukan SAR dari negara lain yang datang akhirnya menyukarkan pihak berkuasa tempatan menyelaras dan mengurus operasi.
“Mereka tidak mahu perkara itu berulang, sebab itu kerajaan Nepal mengehadkan penghantaran pasukan SAR dari negara luar,” katanya.
Mohamad berkata, pasukan SMART turut dibekalkan lima dron berkapasiti tinggi yang disumbangkan beberapa syarikat tempatan, termasuk Proton dan Petronas bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di kawasan cerun serta lurah yang sukar diakses.
“Kawasan itu panjang dan luas, merentasi Tibet, Nepal sehingga ke India. Jadi, kawasannya amat panjang, selain mempunyai cerun dan lurah yang berbahaya,” katanya. – UTUSAN










