Malaysia jemput Ethiopia buka kedutaan di Kuala Lumpur

Malaysia jemput Ethiopia buka kedutaan di Kuala Lumpur

ANWAR Ibrahim dan Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed turut membincangkan usaha memperluaskan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan serta beberapa industri yang sedang berkembang di New Delhi, India.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hubungan Malaysia-Ethiopia bakal diperkukuh menerusi pembukaan kedutaan di Kuala Lumpur serta rundingan bilateral pertama kedua-dua negara yang dijadual berlangsung tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan jemputan itu ketika bertemu rakan sejawatannya, Abiy Ahmed pada Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi, India.

Kedua-dua pemimpin turut bersetuju mengadakan rundingan bilateral pertama Malaysia-Ethiopia di Kuala Lumpur tahun depan bagi membincangkan isu dua hala serta meneroka bidang kerjasama baharu.

Dalam pertemuan itu, Anwar dan Abiy turut membincangkan usaha memperluaskan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan serta beberapa industri yang sedang berkembang.

Kedua-dua negara turut meneroka kerjasama dalam produk halal, pertanian, keterjaminan makanan dan farmaseutikal, selain peluang dalam perkhidmatan digital, tenaga boleh baharu dan pelancongan.

Anwar menyambut baik hubungan yang semakin erat antara kedua-dua negara susulan lawatan timbal balik oleh kedua-dua pemimpin sepanjang dua tahun lalu.

Abiy berkunjung ke Malaysia pada 2024, manakala Anwar melakukan lawatan rasmi ke Ethiopia pada 2025.

Malaysia turut membuka semula kedutaannya di Addis Ababa pada September tahun lalu selepas 43 tahun ditutup.

Tahun lalu, Anwar sekali lagi mengulangi kesediaan Malaysia untuk meluaskan perdagangan dengan Ethiopia, sambil menyatakan langkah reformasi, aspirasi logistik serta tenaga kerja muda dan dinamik di negara Afrika itu menjadi asas kukuh bagi kerjasama lebih mendalam.

Ethiopia merupakan rakan perdagangan ke-26 terbesar Malaysia di Afrika pada 2023, dengan nilai perdagangan dua hala mencapai RM446.8 juta.

Perdagangan antara kedua-dua negara melonjak 40.1 peratus pada 2024 kepada RM626 juta, namun jumlah berkenaan secara relatifnya masih sederhana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×