Sesuai dengan peranannya mengembang dan memperkasa bidang pertanian Universiti Putra Malaysia merangka pelbagai program sesuai dengan peranan dan tanggungjawabnya itu dengan memanfaatkan aset dan guna tenaga yang dimiliki.

Bagi merealisasikan matlamat tanggungjawab tersebut, UPM baru-baru ini melancarkan program Bulan Sinergi Putra yang diadakan di Ladang Puchong bagi mengetengahkan inovasi dan teknologi pertanian moden kepada masyarakat.
Pusat Pertanian Putra (PPP) UPM itu antara aset universiti berkenaan yang menyokong aspirasi memperkasa pertanian dan menggunakan pendekatan teknologi moden dan penghasilan inovasi.
Pengarah Pusat Pertanian Putra UPM, Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah Sakimin berkata, program yang berlangsung sepanjang 3 hingga 29 Jun 2026 itu bertujuan untuk merapatkan jurang antara penyelidikan makmal akademik dengan aplikasi sebenar di lapangan pertanian.
“Program yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang ini terbuka kepada semua warga universiti serta komuniti luar bagi menghimpunkan elemen ilmu, rekreasi, kulinari, dan kemasyarakatan.” katanya.
Menurut beliau, antara tarikan utama sepanjang program sebulan itu berlangsung adalah program memetik hasil segar sendiri atau ‘Pick On Your Own’ (POYO), Pertandingan Wira Kulinari, aktiviti memancing Hook, Catch & Pay, serta program Jom Tanam Pokok.
Wakil media baru-baru ini dibawa melawat ke Ladang Puchong UPM sempena Bulan Sinergi Putra.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pertanian, Ts. Dr. Ahmad Suhaizi Mat Su menjelaskan bahawa Ladang Puchong ini beroperasi sebagai kawasan pembangunan komersial yang memfokuskan kepada agenda kemasyarakatan serta agropelancongan.
“Konsep komersial di ladang bersepadu ini dibina khusus bagi membantu melatih serta membimbing para peserta yang sebahagian besarnya merupakan golongan B40 dan graduan muda.” katanya.
Beliau menambah, landskap keseluruhan ladang ini turut dioptimumkan sebagai makmal hidup (living lab) bagi mempamerkan hasil inovasi makmal jabatan seperti Photosynthesis Enhancer kepada industri dan komuniti luar.
Berkongsi mengenai kapasiti pengeluaran tanaman makanan pula, Ketua Seksyen Pegawai Pertanian, Aznida Che Alli memaklumkan bahawa pengurusan tanaman sayur berdaun di sini menggunakan sistem meja yang mampu menampung sehingga 12,000 pokok.

“Bagi memastikan pengeluaran optimum dan bebas penyakit, kita membina 44 buah Rumah Perlindungan Hujan atau Control Environment System (CES) di mana 24 buah dikhaskan untuk melon dan 20 buah untuk sayur-sayuran.” katanya.
Aznida berkata, pengurusan tanaman berteknologi tinggi ini merangkumi sayur sawi, kangkung, dan bayam yang diusahakan secara sistematik bagi menjamin kualiti pengeluaran.

Menyentuh mengenai sektor akuakultur, Pegawai Pertanian Pusat Pertanian Putra, Ahmad Alfan Hidayat Ahmad Khalili menerangkan bahawa unit tersebut memfokuskan kepada pembiakan ikan air tawar secara mandiri.
“Di kolam ini kita fokus kepada pengurusan ikan tilapia, patin, keli, serta baung, di mana bekalan benih dihasilkan sendiri daripada aktiviti pembiakan bagi menjimatkan kos operasi ladang.” katanya.
Acara pengurusan kolam ini mematuhi SOP standard perikanan yang ketat di bawah persijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).

Dalam pada itu, pelaksanaan keseluruhan program Bulan Sinergi Putra ini juga dijayakan menerusi kerjasama strategik bersama Kementerian Ekonomi melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Intan bagi membantu golongan B40 dan graduan muda.
Pihak jabatan berharap inisiatif ini dapat memupuk minat generasi muda dalam agroteknologi, dan orang ramai dijemput mengikuti maklumat lanjut melalui platform media sosial rasmi Pusat Pertanian Putra UPM. –UTUSAN










