Khairul Sarbany juara sulung Terbuka Merdeka Kinrara

Khairul Sarbany juara sulung Terbuka Merdeka Kinrara

KHAIRUL Sarbany (kanan) menerima trofi kejuaraan daripada wakil penganjur. - Foto ihsan FB Kinrara Golf Club
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Khairul Sarbany muncul juara sulung kejohanan golf Terbuka Merdeka Kinrara selepas mengumpul keseluruhan 152 pukulan dalam saingan dua hari di Kelab Golf Kinrara, Puchong pada 5 September lalu.

Pendahulu pusingan pertama itu melakukan 78 pukulan dengan tujuh pukulan melebihi par pada pusingan akhir selepas mencatat 74 pukulan pada hari pembukaan.

Catatan tersebut membolehkan Khairul menamatkan kejohanan dengan kelebihan tiga pukulan di hadapan M. Dzun Nun dan Aidil Asdi yang masing-masing merekodkan keseluruhan 155 pukulan.

Menurut Khairul, kejayaan memenangi kejohanan yang dikendalikan secara profesional itu memberikan kegembiraan kepadanya lebih-lebih lagi ia merupakan penampilan pertamanya di padang tersebut sejak pengurusan bertukar tangan.

“Saya sangat gembira memenangi kejohanan yang dianjurkan secara profesional ini. Ini kali pertama saya bermain di padang ini sejak pengurusannya diambil alih oleh Greencare Services dan saya harus katakan terdapat peningkatan ketara pada laluan, kotak ti, bunker serta kawasan hijau.

“Pada pandangan saya, padang ini sudah bersedia untuk menganjurkan kejohanan Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM) atau Persatuan Golf Amatur Malaysia (PGAM),” katanya dalam kenyataan.

Selaku juara, Khairul membawa pulang trofi, beg golf daripada VinGolf, bekas minuman Under Armour, payung Golf Pride dan beg hadiah Vanakkam.

Kejohanan disertai 104 pemain itu diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan kelab berkenaan serta ulang tahun pertama Greencare Services Sdn. Bhd. sebagai pengurus Kelab Golf Kinrara.

Dalam kategori Stableford Medal A, Ahmad Razid Sukiran muncul juara selepas menewaskan Wong Teck Kim menerusi kiraan semula apabila kedua-duanya mengumpul 80 mata.

Ahmad Razid menerima sebuah trofi, beg Spider Sunday Range, tali pinggang golf Under Armour dan beg hadiah Vanakkam, manakala Gabriel Gomez menduduki tempat ketiga dengan 79 mata.

Hafizzi Ramat pula mengungguli kategori Medal B dengan 89 mata dan handikap 18, diikuti Alfred dengan 86 mata serta Razali yang mengumpul 84 mata.

Sementara itu, Raghbir Singh, Lee Kok Wai, Wong Teck Kim dan Akhtar memenangi pakej permainan golf di Bangkok menerusi hadiah sampingan tajaan Golftreks dan Tai Golf.

Alex Hee pula memenangi jam tangan IROAS bernilai RM3,700 menerusi cabutan bertuah utama, manakala hadiah pukulan satu dalam lubang yang ditawarkan termasuk Proton e.MAS 5, motosikal Bellini dan keahlian Kelab Golf Kinrara selama setahun.

Kejohanan itu ditaja oleh Vision Victory Empire bersama Kenanga dan Zurich. Lain-lain penaja ialah RB Chem, Crest Link, BeGolfPro, 100Plus, Under Armour, VinGolf, AGN, Golftreks, TaiGolf, Vanakkam, IROAS, Spinalive, Trackman dan AGSSG. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×