Kesihatan planet: Krisis alam atau krisis manusia?

Kesihatan planet: Krisis alam atau krisis manusia?

DALAM Islam, hubungan manusia dengan Allah SWT, sesama manusia dan alam tidak terpisah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESIHATAN planet sering dianggap sekadar nama baharu bagi agenda alam sekitar atau perubahan iklim.

Hakikatnya, konsep ini menyentuh hubungan yang menentukan kelangsungan hidup dan kesejahteraan manusia.

Banjir besar, gelombang haba, pencemaran sungai dan kemerosotan biodiversiti sering membawa kita kepada kesimpulan bahawa alam sedang tenat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penyelesaiannya lalu tertumpu pada teknologi hijau, pengurangan karbon dan penguatkuasaan undang-undang. Namun, kesihatan planet mengajak kita meneliti persoalan lebih mendasar: adakah yang sedang sakit itu bumi atau manusia sendiri?

Selama lebih satu abad, pembangunan diukur melalui pertumbuhan ekonomi, perindustrian dan kemajuan teknologi. Pendekatan ini meningkatkan jangka hayat, mengurangkan kemiskinan dan mempercepat inovasi.

Namun, manusia semakin melihat alam sebagai sumber tanpa batas.

 

AHMAD ZAHARIN ARIS

Hutan diteroka, sungai dicemari dan atmosfera menjadi tempat pelepasan sisa. Laut dieksploitasi, sedangkan semua sumber ini perlu dipelihara sebagai sebahagian daripada sistem kehidupan.

Akibatnya, perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, pencemaran bahan kimia serta kemerosotan sumber air mengancam keselamatan makanan dan kesihatan manusia.

Kemajuan yang mengabaikan alam akhirnya menjejaskan kesejahteraan yang ingin dicapai.

Konsep kesihatan planet menjelaskan bahawa kesihatan manusia bergantung pada keadaan sungai, hutan, tanah, lautan dan atmosfera.

Ekonomi memerlukan ekosistem stabil, manakala keselamatan makanan berkait dengan biodiversiti dan iklim.

Alam berfungsi sebagai sistem yang saling bergantung; gangguan terhadap satu komponen memberi kesan kepada keseluruhannya. Hubungan ini melangkaui pembahagian mengikut kementerian, disiplin atau bidang kepakaran.

Dalam Islam, hubungan manusia dengan Allah SWT, sesama manusia dan alam tidak terpisah. Surah Ar-Rum ayat 41 mengingatkan bahawa kerosakan di darat dan laut berpunca daripada perbuatan manusia.

Konsep mizan dalam Surah Ar-Rahman pula menekankan keseimbangan ciptaan. Prinsip menghormati keseimbangan ini seiring dengan peringatan sains melalui konsep sempadan planet bahawa bumi mempunyai had.

Perspektif ini turut berkait dengan maqasid al-syariah yang bertujuan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Air bersih, makanan selamat serta alam sekitar stabil menyokong kesejahteraan manusia dan generasi mendatang.

Pembangunan sewajarnya menjaga kemaslahatan tanpa memusnahkan asas kehidupan. Ekonomi lestari penting bagi melindungi harta masyarakat dan sumber kehidupan generasi akan datang.

Tanggungjawab moral terhadap alam turut hadir dalam tradisi agama lain.

Konsep stewardship dalam Kristian menekankan penjagaan ciptaan Tuhan, interdependence dalam Buddhisme menekankan bahawa kehidupan saling bergantung, manakala dharma dalam Hindu menghubungkan kesejahteraan dengan keharmonian manusia, alam dan nilai moral.

Persoalannya, mengapa kerosakan berterusan ketika ilmu, teknologi dan akses maklumat semakin berkembang?

Cabarannya terletak pada kegagalan menghubungkan ilmu dengan adab dan amanah.

Syed Muhammad Naquib al-Attas melihat kehilangan adab sebagai punca kekeliruan, sementara Syed Hussein Alatas mengingatkan pentingnya tanggungjawab sosial dalam pemanfaatan ilmu.

Universiti mempunyai peranan membentuk cara manusia memahami dirinya dan alam.

Dalam era kecerdasan buatan, maklumat mudah diperoleh, tetapi pertimbangan nilai dan tanggungjawab tetap memerlukan kebijaksanaan manusia.

Pendidikan perlu menghubungkan sains dengan nilai serta teknologi dengan etika, di samping melahirkan graduan dan menghasilkan penerbitan ilmiah.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM), penekanan terhadap kelestarian dan keterjaminan makanan dalam Pelan Strategik UPM 2026–2030 menyediakan ruang untuk menterjemahkan tanggungjawab ini.

UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint menjadi kerangka penyelarasan pendidikan, penyelidikan, inovasi dan penglibatan komuniti bagi menangani cabaran kesihatan planet.

Kesihatan planet menuntut manusia memulihkan hubungan dengan Pencipta, alam, masyarakat dan generasi pewaris bumi. Teknologi sahaja tidak mencukupi jika sikap yang merosakkan terus dipertahankan.

Krisis alam juga mencerminkan krisis nilai apabila kemajuan ilmu tidak diimbangi akhlak yang membimbing penggunaannya.

Masa depan bergantung pada kesediaan manusia mengubah dirinya. Bumi boleh terus wujud tanpa manusia, tetapi manusia memerlukan bumi yang sihat untuk meneruskan kehidupan. Di situlah bermulanya makna sebenar kesihatan planet.

PROFESOR Dr. Ahmad Zaharin Aris
Pengarah Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS)
Universiti Putra Malaysia – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×