Kes buli SMK Za'ba: Mangsa dipercayai dipukul guna paip getah

Kes buli SMK Za’ba: Mangsa dipercayai dipukul guna paip getah

ALZAFNY Ahmad menunjukkan gambar paip getah yang digunakan suspek semasa sidang akhbar di IPK Negeri Sembilan di Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pelajar lelaki tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah yang dilaporkan meninggal dunia akibat dibuli pada Jumaat lalu dipercayai dipukul menggunakan paip getah dan tangan di asrama sekolah itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian berlaku selepas solat Maghrib pada 25 September lalu ketika mangsa sepatutnya menjalani sesi ulang kaji di asrama.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, dipanggil ke asrama pelajar senior di Blok A sebelum dipukul menggunakan paip getah dan tangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suspek meminta mangsa mengambil paip getah di bilik air sebelum diarahkan duduk dan dipukul pada tapak kaki beberapa kali.

“Mangsa kemudian diarahkan berdiri dan membuka baju sebelum dipukul menggunakan tangan pada bahagian depan dan belakang badan sehingga terjatuh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Alzafny berkata, suspek mengarahkan suspek kedua memanggil mangsa untuk berjumpa dengannya di bilik asrama di tingkat dua.

“Suspek kedua yang diarahkan suspek pertama kemudian memukul mangsa terlebih dahulu di bilik asrama di tingkat satu.

“Kejadian dipercayai berlaku sebagai hukuman selepas mangsa ditangkap menghisap vape oleh warden sekolah pada 23 September lalu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibaringkan di atas katil sebelum suspek memberikan bantuan pernafasan selepas mendapati keadaannya semakin kritikal.

Katanya, warden asrama dihubungi sebelum mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat pastikan sama ada mangsa meninggal dunia di asrama atau ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Menurutnya, polis menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 16 tahun menjadikan keseluruhan dua suspek ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek kedua yang ditahan pada 27 September lalu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah semalam dan direman selama enam hari sehingga 3 Oktober bagi membantu siasatan.

Alzafny berkata, polis turut menyiasat kemungkinan berlaku insiden buli di asrama berkenaan selepas beberapa pelajar lain tampil mendakwa pernah dibuli suspek pertama.

“Setakat ini, polis sudah merakam percakapan 68 saksi termasuk 51 pelajar, empat guru dan lima warden bagi melengkapkan siasatan.

“Dalam siasatan ini, keterangan saksi yang diambil adalah konsisten mengenai kejadian yang berlaku.

“Kami masih mengumpul keterangan berhubung dakwaan beberapa pelajar lain yang mengatakan mereka turut pernah dibuli suspek pertama,” katanya.

Beliau berkata, punca kematian mangsa belum dapat ditentukan dan polis kini menunggu keputusan analisis sampel spesimen daripada Jabatan Kimia.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×