KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) jalin kerjasama dengan Malaysia Automotive, Robotics & IoT Institute (MARii) dalam pembangunan teknologi automotif generasi baharu bersempena pelancaran Sidang Kemuncak Penyelidikan dan Inovasi Universiti serta Pelaburan (University Research and Innovation Investment Summit, URIIS) 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.
Pada majlis ini, Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts Dr. Yatimah binti Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Ts. Azrul Reza Aziz bertukar dokumen kerjasama dengan disaksikan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Menurut Yatimah, kerjasama strategik dengan MARii memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan teknologi, inovasi, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat dalam sektor automotif dan mobiliti pada masa akan datang.
Ujarnya, di antara fokus utama pelaksanaan projek EARTH2NXGV 2030: Pembangunan Komponen Kritikal NXGV e-Motor, dengan UMPSA berperanan sebagai peneraju akademia bagi penyelidikan “Research & Development of Rare-earth Magnet and Electric Motor (Technology Transfer Ready)”.
“Lebih signifikan, kerjasama ini turut membuka laluan kepada pembangunan ekosistem “Mine to Supermagnet”, iaitu pendekatan bersepadu daripada sumber mineral nadir bumi (rare earth) sehingga kepada penghasilan magnet berprestasi tinggi (supermagnet) dan seterusnya komponen motor elektrik untuk kenderaan generasi baharu,” katanya.
Melalui pendekatan ini, UMPSA berperanan dalam menerajui pembangunan teknologi berasaskan sumber mineral tempatan, termasuk aspek pemprosesan bahan nadir bumi, formulasi dan pembangunan magnet nadir bumi sebelum diterjemahkan kepada aplikasi motor elektrik berprestasi tinggi.
Selain itu, inisiatif ini juga berpotensi membentuk satu rantaian nilai teknologi yang lebih lengkap di Malaysia, bermula daripada mineral , bahan nadir bumi , magnet , motor elektrik dan aplikasi kenderaan generasi baharu (NXGV).
Ujar Prof Ts Dr Yatimah, projek ini akan melibatkan kepakaran Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC) dan Pusat Kelestarian Mineral & Teknologi Pemulihan Sumber (SMRRT) UMPSA, dengan menggabungkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan automotif, motor elektrik, bahan termaju, mineral nadir bumi serta teknologi pemulihan dan kitar semula sumber.
Malahan sinergi antara kedua-dua pusat kecemerlangan ini akan menyokong usaha menghasilkan teknologi yang Technology Transfer Ready, sekali gus mempercepatkan proses penerapan hasil penyelidikan ke dalam industri.
Kerjasama UMPSA–MARii ini turut merangkumi pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan secara kolaboratif, penerbitan bersama, perkongsian kepakaran, pembangunan kapasiti serta pengukuhan jaringan akademia-industri melalui Consortium of Automotive Malaysian Universities (CAuto).
Sementara itu, pelaksanaan URIIS pada hari ini merangkumi dialog universiti-industri, pameran teknologi dan produk, jaringan perniagaan, penilaian teknologi, pelesenan, pembiayaan serta sesi berkaitan pengkomersialan, termasuk Arena Pelaburan dan Pengkomersialan (Investment and Commercialisation Arena) serta Arena Maklum Balas Penyelidikan dan Industri (Research and Industry Feedback Arena).
Majlis turut menyaksikan pelancaran Garis Panduan Industri Dalam Kampus “Industry on Campus” (IOC) bagi universiti awam serta pameran penyelidikan.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta naib-naib canselor universiti, wakil industri, pelabur, agensi kerajaan, barisan Pesuruhjaya Tinggi dan Duta asing. – UTUSAN











