CYBERJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu kerjasama antara Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) perlu diteruskan dan tidak akan terhenti walaupun berlaku pertukaran kerajaan pada masa depan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ekosistem kerjasama yang dipersetujui antara kedua-dua pihak perlu dikekalkan bagi memastikan rakyat, khususnya anak muda, tidak menjadi mangsa akibat perubahan pentadbiran.
Menurutnya, sekiranya berlaku pertukaran menteri atau kerajaan, perkara yang telah dipersetujui dan mendapat pengesahan Jemaah Menteri tidak seharusnya diubah.
“Ini (kerjasama) menjadi asas bagi kita. Kita tidak mahu rakyat dimangsakan, anak-anak muda dimangsakan. Cukuplah kita berbeza pendapat, jangan kita berbeza dalam pelaksanaan. Ini penting,” katanya ketika berucap pada Sesi Pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik PKD dan NADI di sini hari ini.
Katanya, kelangsungan kerjasama itu penting bagi memastikan agenda pendigitalan negara dapat dilaksanakan secara konsisten, khususnya kepada masyarakat di luar bandar.
Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara kementerian tidak seharusnya sekadar menjadi persetujuan di atas kertas, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan yang jelas dan mempunyai garis masa serta indikator keberhasilan.
“Saya harap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil selepas bengkel ini, memorandum Jemaah Menteri antara kita, sama-sama kita duduk dan muktamadkan untuk kita sama-sama bawa ke mesyuarat Kabinet dalam tempoh sebulan dari hari ini,” katanya.
Katanya, kedua-dua kementerian perlu menetapkan garis masa, jadual waktu, pembahagian peranan dan indikator keberhasilan yang jelas bagi memastikan kerjasama berkenaan tidak menjadi isu yang berpanjangan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap pertukaran menteri pada masa depan tidak menyebabkan ekosistem yang telah dibangunkan antara PKD dan NADI turut berubah.
Katanya, sekiranya berlaku pertukaran kepimpinan, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah perlu memastikan persetujuan yang dicapai dalam bengkel berkenaan dan kemudiannya mendapat pengesahan Jemaah Menteri terus dilaksanakan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, usaha memperkukuh kerjasama NADI dan PKD mencerminkan semangat kerajaan yang mengutamakan sinergi, pengoptimuman sumber dan penyampaian perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, NADI bukan lagi sekadar tempat menyediakan komputer dan capaian Internet, sebaliknya telah berkembang sebagai pusat maklumat dan pemerkasaan komuniti yang menghubungkan rakyat dengan kemahiran, peluang serta perkhidmatan Kerajaan.
“Terdapat 191 PKD di bawah KKDW, lengkap dengan kemudahan, sumber dan jaringan bersama masyarakat. Dengan kekuatan yang dimiliki oleh PKD dan NADI, saya percaya terdapat ruang yang besar untuk kedua-duanya saling melengkapi dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










