Kerajaan perlu perjelas aspek keselamatan pelarian dihantar pulang

Kerajaan perlu perjelas aspek keselamatan pelarian dihantar pulang

SERAMAI 1,476 individu warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal dalam fasa pertama program penghantaran pulang, hari ini. - FOTO: KDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dituntut memberikan penjelasan berhubung penghantaran pulang pelarian Myanmar ke negara asal khususnya berkaitan aspek keselamatan dan keadaan mereka selepas tiba di tanah airnya.

Ketua Pegawai Operasi Alkhair Malaysia, Mohd. Luqmanulhakim Mohd. Redzuan berkata, sebagai sebuah organisasi yang memberi perhatian kepada aspek kemanusiaan, pihaknya berpandangan bahawa proses penghantaran pulang bukan hanya perlu dilihat dari sudut mereka selamat tiba di destinasi.

Sebaliknya, katanya, aspek keselamatan dan kebajikan mereka selepas pulang juga penting untuk diambil kira.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara persoalan utama yang wajar diberikan penjelasan ialah ke mana mereka akan dihantar? Apakah kawasan atau lokasi yang menjadi destinasi mereka selepas dihantar pulang, dan bagaimana keadaan di kawasan tersebut dinilai dari sudut keselamatan?

“Bagaimana tahap keselamatan mereka dinilai sebelum penghantaran pulang? Adakah penilaian risiko dibuat secara individu dengan mengambil kira keadaan serta kemungkinan ancaman yang mungkin mereka hadapi selepas kembali ke Myanmar?

“Bagaimana persetujuan untuk pulang diperoleh? Sekiranya mereka bersetuju untuk pulang secara sukarela, adakah mereka diberikan penerangan yang mencukupi mengenai keadaan yang bakal mereka hadapi selepas kembali dalam bahasa yang mereka fahami?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, persoalan lain yang perlu dijawab adalah bagaimana jika seseorang berasa tidak selamat atau mahu menarik balik persetujuan, apakah prosedur yang tersedia sekiranya seseorang berubah fikiran, menyatakan kebimbangan atau tidak lagi bersetuju untuk dihantar pulang.

Tambahnya, penjelasan juga perlu diberikan mengenai siapa memantau keadaan mereka selepas tiba ke destinasi dan apakah mekanisme pemantauan yang tersedia bagi memastikan keadaan dan keselamatan mereka terjamin.

“Kepada siapa mereka boleh mendapatkan bantuan jika menghadapi masalah selepas pulang? Sekiranya mereka berdepan ancaman keselamatan, masalah tempat tinggal, makanan, rawatan atau keperluan asas lain, apakah saluran bantuan yang boleh mereka akses?

“Alkhair Malaysia tidak mempunyai maklumat mengenai keadaan setiap individu yang terlibat. Oleh itu, kami tidak mahu membuat kesimpulan bahawa kesemua mereka dipaksa untuk pulang.

“Pada masa yang sama, kami juga tidak wajar menganggap kesemua mereka berada dalam keadaan selamat tanpa penjelasan dan mekanisme pemantauan yang jelas,” katanya.

Terdahulu, seramai 1,476 individu warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal dalam fasa pertama program penghantaran pulang melalui jalan laut menggunakan dua buah kapal dengan diiringi kapal hospital milik Kerajaan Myanmar, hari ini.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 5,000 warga Myanmar yang telah dimuktamadkan untuk menjalani program penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat ke negara asal yang mendapat persetujuan Kerajaan Myanmar. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×